Sebuah Memoir : When Breath Become Air

 

Sebuah memoir yang dikarang sebelum ajal datang menjengah.

Pada mulanya saya tertarik untuk membaca buku ini kerana latar belakang penulisnya yang juga dalam bidang kesihatan dan juga penulisan. Sangkaan saya ia adalah sebuah cerita fiksyen mengenai perubatan, atau pembedahan, atau mungkin kehidupan seorang doktor. Namun tidak!

When Breath Becomes Air. Ia adalah mengenai kisah hidupnya sendiri. Tentang bagaimana seorang doktor bedah otak yang sedang menghabiskan baki latihan sebagai neurosurgeon –- sebuah bidang yang paling sukar dan sedikit orang yang menceburinya –- tiba-tiba mendapat tahu dia menghidap kanser paru-paru. Satu berita yang memberantakkan masa depan, karier dan kerjaya, juga tanggung jawab sebagai seorang suami.

Semalam dia melihat pesakit yang datang kepadanya dengan tumor otak, hari ini dia datang ke hospital dengan tumor paru-paru.

Hari ini dia membedah pesakit, esok dia datang ke hospital sebagai seorang pesakit.

 

Satu realiti yang sukar ditelan oleh sebatang tubuh yang bergelar doktor.

Paul Kalanithi merupakan seorang neurosurgeon dan penulis. Berasal dari darah keturunan Indian-American dan berpindah ke Kingman, Arizona. Lulusan Stanford University dalam Bachelor of Arts and a Master of Arts in English Literature.
Kerana minatnya yang mendalam dalam falsafah dan bahasa, dia mulanya ingin menyambung Ph.D. dalam English Literature. Akan tetapi, dia memilih bidang perubatan untuk kemudian menjadi doktor setelah menghadiri Yale School of Medicine. Akhirnya dia kembali ke Stanford untuk menghabiskan kursus latihan dalam neurosurgery.

 

PROGNOSIS

Apabila seseorang menghidap kanser, biasanya para doktor akan memberitahu berapa lamakah lagi jangka hayat yang ada padanya. Ia dipanggil prognosis. Peratusan untuk hidup dalam jangka masa 5 tahun lagi, atau 10 tahun lagi. Ianya bergantung kepada tahap keberapa kanser itu berada. Namun, ia hanya sekadar ramalan dan jangkaan dari pihak dokor berdasarkan kes-kes yang sebelum ini.

Doktor akan menganalisa pesakit, membuat kajian yang secukupnya, kemudian memberitahu berita buruk ini kepada pesakitnya.

Namun, apa pula keadaannya jika doktor tersebut menjadi pesakit? Mahukah dia mengetahui berapa lama lagi umurnya yang ada?

Paul Kalanithi belajar sesuatu dari penyakitnya dan memberikan beberapa basic rules:

 

1.First, detailed statistic are for research hall, not hospital rooms. The standard statistic, the Kaplan-Meier curve, measure the number of patient surviving over time. For glioblastoma, the curve drops sharply until only about 5% of patient are alive at two years.

2.Second, it is important to be accurate, but you must always leave some room for hope. Rather than saying. “ you have 95% of being dead in two years,” I would say, “Most patients live many month to a couple of years.

 

Semua itu benar, kerana tugas doktor ialah merawat pesakit, bukan meramal bilakah pesakit akan mati. Memberitahu bila mereka akan mati ibarat memutuskan segala macam harapan dan cita-cita yang ada pada pesakit.

Tiada siapa mahu tahu bilakan riwayat mereka akan tamat.

Untuk Paul, doktornya memberitahu dia bahawa dia hanya ada 6 bulan untuk hidup. Sangat ironi. Dia mempersoal, “Who are they?”. Siapakah mereka untuk memberitahu dia hanya ada sekian ke sekian masa?

MASA YANG RELATIF

 

Apabila mendapat keputusan yang kita menghidap penyakit yang tahap akhir, setiap keputusan dalam hidup kita akan berubah. Kita akan mula berfikir, apakah perkara yang paling patut untuk dilakukan sekarang?

Adakah perkara yang dibuat sekarang berbaloi untuk diteruskan?

Kalau ia berbaloi sekalipun, sempat lagikah untuk ia dilakukan sekarang?

Semua itu akan menjadi setiap titik pertimbangan kita, setelah mengetahui masa yang ada tidak lagi seperti orang lain.
Kemudian, timbul pula satu keadaan yang menyesal setelah dapat dilakukan pula perkara yang difikirkan tadi.

Datang pula fikiran baru, alangkah baiknya kalau diperbuat perkara yang lebih baik dari itu tadi.

Demikianlah tuan-tuan, pemikiran tentang masa yang sangat relatif dalam minda dan keadaan orang yang mengetahui yang ajalnya akan tiba. Semua ini diceritakan dengan baik oleh penulis apabila anda menelesuri memor kisah ini.

 

DAPATAN BUKU

Membaca buku-buku sebegini amat bagus untuk kita membentuk perasaan simpati dan empati terhadap orang lain yang kurang bernasib baik. Simpati adalah perasaan kasihan belas, sedih, dan susah dengan sesuatu yang berlaku, manakala empati ialah meletakkan diri kita sendiri dalam keaadaan orang yang sedang ditimpa musibah tersebut.

Cerita-cerita seperti ini membolehkan kita mengetahui realiti dan menyelam perasaan sebenar orang sudah melaluinya.

Kalau anda doktor, supaya anda tahu bahawa setiap pesakit yang datang tidak datang dengan sakitnya yang zahir itu sahaja. Telah terjadi dalam diri mereka pertarungan yang hebat antara perasaan dan hakikat.

Kalau anda seorang pesakit, supaya anda ketahui bahawa tidak anda seorang yang sakit sebegitu. Orang lain ada lagi yang lebih parah dan teruk dari anda.

Saya amat menyarankan sesiapa sahaja yang ingin mengetahui perspektif yang berbeza antara dua dunia ini, antara doktor dan pesakit, dan antara hidup dan mati; untuk meneliti kisah yang dikarang dihujung usia ini.

 

PENUTUP

Paul Kalinithi, selain menjadi neurosurgeon, dia juga menerima anugerah tertinggi American Academy of Neurological Surgery. Beliau disahkan menghidap kanser pada Mei 2013. Dia meninggalkan isteri dan anaknya pada umur 37 tahun, iaitu pada Mac 2015. Sejurus mengetahui menghidap kanser, dia mula menulis buku ini. Hasratnya untuk menulis buku sebelum meninggal akhirnya tercapai apabila manuskrip buku ini siap dicetak dan menjadi buku bestseller pula.

 

Saya petik perenggan terakhir dalam bukunya :

When you come to one of the many moments in life where you mjst give account of yourself, provide a ledger where you have been, and done, and meant to the world.

 

Kuala Krai,

08 April 2018

Comments

comments

Tuliskan sedikit komen, mungkin?