Membaca Kisah Benar

 

 

Sejak kebelakangan ini, saya mula menemui minat baru. Bermula dengan buku When Breath Become Air, ia mula mengetuk hati saya untuk membaca lagi buku-buku mengenai kisah benar pesakit yang menceritakan perjalanan hidup mereka dan liku-liku menhadapi dugaan.

Saya dapati, menyelami kembali perasaan mereka, menghayati hari-hari yang penuh dugaan yang mereka lalui akan menyebabkan saya bertambah menghargai hari-hari yang mendatang dalam hidup.

Paul Kalanithi menceritakan bahawa setiap saat yang dapat dia lalui adalah sangat berharga apabila doktor memberitahu dia akan hidup lebih kurang 2 tahun sahaja lagi berdasarkan diagnosis kanser paru-paru yang dihidapinya.

Penulis buku ini juga bukan calang-calang orangnya. Beliau ialah seorang jurnalis yang memenangi anugerah Palm Beach Post untuk 20 tahun. Setelah disahkan menghidap penyakit ALS ( Amyotrophic Lateral Sclerosis), dia mula menulis buku ini — Until I say Good-Bye.

ALS ialah satu penyakit dimana terdapat kerosakan pada saraf yang menghantar isyarat impuls kepada otot-otot pada badan. Puncanya tidak diketahui tetapi kesannya tersangatlah besar. Bermula dengan tiada upaya untuk menggerakkan otot-otot yang kecil, hinggalah ia menyerang otot paru-paru yang menyebabkan tidak boleh bernafas.

Lantas, buku ini ialah catatan bulan-bulan dalan setahun kehidupannya menghidap ALS. “Tahun Kehidupanku dalam Gembera”- catatan kecil beliau pada muka depan bukunya.

 

UNTUK APA TAHU?

Simpati dan empati ialah dua kata yang berbeza.

Satu bermaksud perasaan kasihan belas, sedih, dan susah dengan sesuatu yang berlaku; manakala yang kedua ialah meletakkan diri kita sendiri dalam keaadaan orang yang sedang ditimpa musibah tersebut.

Membaca kehidupan orang lain membolehkan kita meletakkan diri kita sendiri di tempat mereka. Apa yang sedang mereka rasai, lalui dan hadapi, akan dapat kita bayangkan juga.

Saya lihat kerjaya sebagai seorang doktor yang sentiasa memerlukan diri disegarkan dengan simpati dan empati. Ya, berjumpa dengan orang yang ditimpa kemalangan buat pertama kali mungkin akan mengetuk sisi hati kita yang kesian, sebagai seorang insan. Tetapi bagaimana pula kalau setiap hari terpaksa menghadap kes-kes speerti cedera tangan, terpaksa dipotong kaki, dan dibedah perutnya? Maka kita akan mula terbiasa dengan perkara-perkara yang dimata orang menanggungnya amat berat, tetapi dari sisi kita, ia amatlah ringan sekali.

Inilah yang dipanggil terbiasa. Sudah kalis. Sudah lali. Dan akhirnya menatijahkan, “Saya sudah tidak kisah”.

Maka membaca kisah-kisah sebegini akan menjentik kembali hati kita yang masih bersifat dengan kasihan dan kasih sayang itu untuk merawat mereka dengan sepenuh perhatian.

Tidak hebat doktor yang hanya merawat zahirnya sahaja. Kerana pesakit tidak hanya datang dengan semata-mata jasad. Di dalamnya masih ada jiwa. Masih ada perasaan. Dan terkandung di dalamnya harapan.

Berjaya merawat yang zahir, sudah dianggap berjaya oleh kebanyakkan orang. Tetapi berjaya merawat yang zahir dan hati nurani, kita akan dianggap hero oleh sang pesakit, dan pahlawan oleh diri sendiri.

 

Lantas perbanyakkan menyelami jiwa pesakit.

Ketahui perasaan mereka.

Rasai apa mereka lalui.

Tumpahkan sedikit simpati

Curahkan sedikit empati.

Dan berilah harapan.

 

Mereka juga berhak merasa gembira!

 

 

Baihaqi Mohamad

22 April 2018

Kuala Krai.

 

 

Comments

comments

Tuliskan sedikit komen, mungkin?