Sedikit Yang Diberi, Banyak Yang Dirasa

Yang Baik Pada Budi

Ramai orang yang mengenal HAMKA pada novel atau cerita-cerita beliau yang popular seperti Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck mesti tidak akan menyangka bahawa sosok badan ini juga ada karya lain yang beliau hasilkan.

Jika sekarang, seorang penulis novel kekal mesti akan dikenali sebagai seorang penulis novel juga hingga ke akhir hayatnya. Tetapi tidak bagi Ulama Nusantara ini. Karya beliau bukan satu, malah berpuluh puluh. Dan ianya juga bukan pada satu bidang sahaja, malah berbagai bidang.

Beliaulah yang menulis Tafsir Al-Azhar, beliaulah yang menulis tentang Sejarah Umat Islam, beliaulah yang menulis tentang Tasauf, Falsafah, malah berjaya menulis novel yang masih popular hingga ke hari ini.

Semoga menjadi pedoman dalam masa sulit atau senang

Semoga menjadi pedoman dalam masa sulit atau senang

Buat masa sekarang, saya sedang merencana untuk menghabiskan semua karya-karya HAMKA yang ada di pasaran. Antaranya ialah:

  1. Falsafah Hidup.
  2. Tasawuf Moden.
  3. Lembaga Hidup.
  4. Lembaga Budi
  5. Peribadi.

Biarpun saya berkenalan dengan karya beliau melalui novelnya, tetapi saya yakin masih terlalu banyak lagi khazanah ilmu dan pedoman hidup yang ditinggalkan oleh sosok tubuh ini.

Maka saya mulakan dengan buku pertama, Falsafah Hidup. Membaca dan menelusur satu persatu perkataan dari buku ini, tidak lain rasanya seperti sedang mendengar satu nasihat dari seorang ayah kepada anaknya.

Setiap baris perkataan menjadi pedoman dan bisikan yang menusuk setiap mahu melakukan setiap perkara. Seolah-olah perkataan itu lekat di dalam kepala. Mungkin itulah yang namanya berkat pada sebuah tulisan.

Gaya bahasanya juga mudah dan tidak berbelit-belit, seperti sangkaan saya pada awal sebelum membaca buku ini, bahawa ia adalah bahasa falsafah kuno yang sukar difahami maknanya. Malah saya tertarik pada permulaan buku ini apabila membawa pengertian falsafah itu sendiri.

Falsafah atau philosophy asalnya dari perkataan Greek iaitu philos dan sophos. Philos  ertinya suka atau gemar atau mahu. Manakala sophos pula ertinya hikmat atau bijaksana. Jadi erti falsafah yang sebenar ialah orang yang sukakan hikmat atau kebijaksanaan, bukannya bahasa yang panjang berjela dan berbelit-belit. Soalnya, siapa pula yang tidak sukakan kebijaksanaan atau hikmat? Itu sudah tidak fitrah bukan?

Barang hikmat ialah satu khazanah dari ilmu yang telah hilang. Sesiapa yang menjumpainya, maka dialah yang berhak memilikinya.

 

 

“Jikalau ada engkau berakal maka utamalah engkau ;
Jikalau ada engkau bersopan maka budimanlah engkau ;
jika ada engkau berharta maka bergengsilah engkau, dan
jika engkau taqwa maka beragamalah engkau.

-Hamka, Falsafah Hidup –

Comments

comments

Tuliskan sedikit komen, mungkin?