Sedikit Yang Diberi, Banyak Yang Dirasa

Tersalah Sangka

 

Apabila ternampak seorang lelaki tua itu sedang berjalan ke masjid, hatinya mula berbisik:

“Aku kenal benar dengan si tua ini. Zaman muda-mudinya penuh dengan maksiat dan hidupnya hanya mengelilingi wanita, hanya sekarang dia mahu insaf?”

Apabila dia ternampak pula seorang sang kaya memberhentikan kereta di tepi jalan, dia mula berfikir:

“Berlagaknya orang ini, berpura-pura menghulurkan sedekah kepada pengemis jalanan. Padahal dia ingin menunjuk-nunjuk keretanya yang mewah!”

Ada sahaja benda yang tidak kena dengan kata hatinya.

Melihat pula seorang pengemis sedang meminta-minta di tepi jalan, dia mula berkata lagi:

“Badan masih segar, masih mampu buat kerja, tapi asyik harapkan orang sahaja. Pemalas!”

 

TABIAT KITA

Dialog di atas mungkin hanya rekaan. Namun, mungkin kita juga pernah melakukan perkara yang sama. Mudah sahaja untuk kita mengeluarkan sesuatu perkataan tentang orang lain, walaupun benda tersebut langsung tidak ada kena mengena dengan kita. Ataupun, jika kita tidak pernah berburuk sangka kepada orang, mungkin kita pernah mendengar orang lain sedang mencemuh seseorang di hadapan kita. Pangkalnya, memang situasi ini ada diantara kita.

Sifat manusia kadangkala memang begitu. Salah orang selalu sahaja kelihatan. Kita punya kesilapan, kalau ada sekalipun, buat-buat tak nampak. Amat buruk sebenarnya perbuatan ini. Hanya kita yang tidak menyedarinya.

Kita selalu sahaja cenderung untuk menilai dalaman orang. Benda yang kita tidak tahu kebenarannya, tapi ia menjadi sangkaan kita terhadap orang lain. Dengan bahasa mudahnya, first impression kita apabila kita melihat sesuatu situasi. Ada saja benda yang tidak kena dengan kehendak kita apabila terlihat satu-satu situasi.

 

RAHSIA YANG TERSEMBUNYI

Sungguh tidak dinafikan bahawa perkara ini sememangnya dilarang dalam agama kita. Istilahnya ialah suu’ zhonn, iaitu berburuk sangka. Namun persoalannya, kenapa kita dilarang untuk berburuk sangka dengan sesama saudara kita yang lain?

Kita tidak dapat membaca masa depan, perkara yang akan berlaku itu rahsia yang tersembunyi. Hanya yang mengetahuinya ialah Allah sahaja. Ya, Allah maha mengetahui segala apa yang akan berlaku. Oleh itu, amat tidak patut untuk kita yang amat sedikit pengetahuannya ini untuk menghukum orang lain, berdasarkan apa yang berlaku. Bermacam perkara boleh terjadi.

Mungkin dia akan berubah.

Mungkin dia akan insaf.

Mungkin dia akan bertaubat.

Segala macam kemungkinan ada di hadapan hari. Oleh itu, kita biarkanlah perkara yang tidak kita ketahui  menjadi urusan dia dengan Allah Ta’ala. Tidak perlu untuk kita masuk campur.

Tetapi, mungkin orang akan berkata, “Kalau macam tu, baik tak payah buat amar ma’ruf nahi munkar. Mungkin dia akan bertaubat suatu hari nanti?!”

Bukan itu yang saya maksudkan. Kerja dakwah mesti sentiasa berjalan. Namun, untuk menilai orang lebih daripada yang kita tahu, ia bukan lagi menjadi urusan kita. Kerja mestilah sentiasa berjalan, tetapi berbaik sangkalah dengan manusia. Semoga kita tidak akan disibukkan dengan urusan orang lain.

 

KELUASAN AMAL

“Isyh, kedekutnya dia ni. Tidak pernah aku nampak dia memberi derma di tabung masjid.”

Mungkin, lintasan hati itu selalu terjadi kepada kita.

Namun, ketahuilah bahawa Allah membuka pintu-pintu amal itu seperti Allah menbahagi-bahagikan rezeki antara manusia.

Ada orang yang memang kurang bab puasa sunat. Tapi apabila nampak tabung derma, laju pula tangannya memberi.

Mungkin ada orang yang kurang sembahyang sunat. Tapi, segala percakapannya amat teliti daripada mengumpat dan mencela orang lain.

Mungkin ada orang memang amat pendiam. Namun pantang melihat imej Islam dicalar dan dihinjak, pasti dia akan bangkit bersuara dan bersemangat.

Dan sememangnya ada pelbagai kemungkinan lagi yang ada. Jika kita lihat dia ada terkurang disitu, maka ada lebihnya pula di tempat lain. Begitulah percaturan Allah. Dijadikan segala pintu amalan itu dapat dimasuki dari banyak sudut dan perkara.

 

URUSAN KITA?

Jika segala apa yang terkandung dalam pemikiran orang tidak perlu kita masuk campur, apa pula yang patut kita buat?

Tugas kita hanyalah menyampaikan, memberitahu, dan berserah diri kepada Allah selepas daripada itu.

Dengarlah kepada siapa yang ingin mendengar.

Dan Allahlah yang memberi hidayah kepada sesiapa yang Dia kehendaki.

Tidak perlu untuk kita bersusah payah ‘membaca’ pemikiran orang lain dan memberi anggapan yang bermacam kepada orang.

Sesungguhnya perkara itu hanya akan memberikan bebanan kepada kita dan tidak menambah manfaat untuk kita sedikitpun.

Semoga kita selamat daripada apa yang tidak menjadi urusan kita.

 

 

 

 

Comments

comments

Tuliskan sedikit komen, mungkin?