Sedikit Yang Diberi, Banyak Yang Dirasa

Tekanan Anak

Wad Psikatri. Di pertengahan waktu pagi. Tidak ada apa yang luar biasa hari ini, melainkan hujan yang renyai mengiringi pagi. Setelah lama panas datang bertandang.

Terbaring di sana, seorang remaja perempuan. Lingkungan 20-an mungkin, tapi yang pasti dia amat muda untuk berada di sini.

Kami duduk melingkungi dia setelah meminta kebenaran dan kesudian untuk di wawancara. Dia hanya menurut.

“Boleh saya tahu tak, kenapa adik berada di sini ya?” Kawan saya memulakan bicara.

“Saya tertekan. Saya tidak boleh uruskan diri saya dan anak saya,” katanya sambil memandang ke bawah.

“Apa maksud awak dengan tertekan tu?” Kawan saya menyambung.

“Susahlah ada anak ni. Kena bangun pukul 2 pagi laa… Nangis-nangis masa saya tidur la… Asyik bising je, saya nak buat kerja lain pun susah,” sambung Syuhada dengan berterus terang. Tidak ada lagi yang tersembunyi.

Dalam pertengahan kami berbual dengan beliau, tiba-tiba dia ternampak kertas yang kami pegang. “Doktor, mintak kertas satu boleh tak? Saya nak lukis laa…” Katanya halus sambil menunjukkan ke arah kertas tersebut.

Selepas itu berlangsung lagi wawancara antara kami dengan Syuhada. Hampir sejam juga rasanya.

Ceritanya begini. Syuhada seorang ibu muda, diberikan rezeki mendapat cahaya mata di usia yang muda. Tidak ada apa-apa masalah di sepanjang perkahwinannya. Berkahwin juga suka sama suka. Cuma ada sedikit masalah di pihak suami yang berkerja lama, menyebabkan kurangnya masa bersama-sama isteri dan menjaga anak.

Sudah seminggu dia berada di sini. Syuhada masuk ketika anaknya baru berusia satu minggu. Dia mengalami kemurungan, tidak bersemangat, mudah tertekan, dan kurang keyakinan diri terhadap kehidupan baru itu.

Kemudian, lebih sejam juga kami membedah dan berbincang kes tersebut bersama dengan Professor Psikiatri kami. Akhirnya, berdasarkan perbincangan, beliau merumuskan diagnosis : Postpartum Depression

**********

Hari ini berakhirnya posting saya dalam subjek Psychiatry. Selama sebulan berada dalam posting ini, ada banyak perkara yang saya belajar dan ingin kongsikan kepada para pembaca.

  1. Tidak semua pesakit yang mendapat rawatan psikiatri adalah gila. Perkara ini harus diberikan perhatian.  Sudah menjadi norma dan dogma dalam masyarakat kita memandang serong orang yang mendapatkan rawatan psikiatri. Terus kita akan cop orang tu gila.Perkara ini tidak patut berlaku kerana depression, anxiety, OCD [2] , juga termasuk dalam kes psikiatri yang perlu mendapatkan rawatan. Mereka semua adalah orang yang normal.Benda ini susah untuk kita ubah sebenarnya. Sehinggalah apabila ada ahli keluarga atau sahabat kita yang terdekat kena penyakit ini, ketika itulah baharu kita akan terpekik-pekik “ Abang aku tak gila lah!”
  2. Tidak semua rawatan psikiatri adalah ikat pada katil, beri kejutan elektrik, dan sebagainya. Entah berapa ramai sudah orang-orang yang ketagihan dadah pulih hasil rawatan psikiatri. Ya betul! Mereka diberi rawatan methadone therapy untuk mengurangkan ketagihan, membuang ‘bisa’ dadah, dan mengembalikan kehidupan mereka yang asal.Akhirnya, mereka diterima semula oleh ahli keluarga dan bersatu kembali dengan keluarga tercinta. Tidakkah ini satu perkara yang baik?Kita sepatutnya memberi harapan bukan cepat menghukum dan melabel.
  3. Depression adalah satu masalah yang serius. Orang sekeliling kena peka dengan apa yang berlaku kepada seseorang. Luangkan lebih banyak masa untuk bertanya masalah mereka. Mungkin mereka mempunyai cerita untuk diluahkan, cuma tidak tahu kepada siapa patut diberitahu.

**********

Lukisan yang dilukis oleh Syuhada

Lukisan yang dilukis oleh Syuhada

Ini adalah lukisan yang dihasilkan oleh Syuhada. Sila besarkan dan tafsirkan apa yang ingin disampaikan oleh beliau.

  1. Benda pertama yang dia lukis setelah dapat kertas ialah rumah. Ya, ibu mana yang tidak rindukan rumah bukan? Sudah seminggu berjauhan dengan anak pertama, sudah tentu perasaan itu akan timbul.
  2. Benda kedua yang dia lukis ialah bentuk hati yang besar. Entah, mungkin juga dia sudah mula rindukan kasih sayang? Mungkin, saya tidak tahu.
  3. Lihat belon hati yang sedang terbang di tangan dua orang pasangan di sebelah kanan gambar. Dia mahukan kebahagiaan yang sedang terbang tinggi, bersama-sama dengan orang dia sayang. Mungkin juga, saya tidak tahu.

P/S: Nama dalam cerita ini hanya samaran, untuk menjaga privasi pesakit. Namun, cerita ini adalah benar dan diharapkan anda dapat mengambil manfaat darinya.

[1] Postpartum Depression ialah penyakit tekanan perasaan yang berlaku sejurus selepas melahirkan anak. Kebiasaannya anak sulung. Baca lanjut di http://www.postpartumprogress.com/the-symptoms-of-postpartum-depression-anxiety-in-plain-mama-english

[2] OCD, Obsessive Compulsive Disorder. Penyakit was-was tentang kebersihan, susunan barang, atau perkara lain yang menyebabkan terganggunya fungsi kehidupan seharian. Baca lanjut di  http://www.nimh.nih.gov/health/topics/obsessive-compulsive-disorder-ocd/index.shtml

Comments

comments

Tuliskan sedikit komen, mungkin?