Sedikit Yang Diberi, Banyak Yang Dirasa

Siapakah Si Tua Itu?

Anda sangka si tua ini siapa?

 

Seorang pengemis datang dengan langkah yang perlahan-lahan ke dalam sebuah restoran yang mewah. Lampunya yang menyinar, hawa yang sejuk dan haruman yang segar menghiasi restoran itu.

Masuklah sang tua tadi ke dalam restoran dalam keadaan janggal dengan kelibat orang semuanya berada.

“Teruknya lelaki tu, badannya dah la busuk, kotor pulak tu, ada hati dia nak masuk dalam kedai yang hebat macam ni?”, rungut seorang lelaki yang berkot putih.

“Kalau dah diri tu teruk, sedarlah sikit. Bukan taraf kau nak masuk ke tempat suci macam ni!” , herdik seorang lagi wanita dengan nada yang keras. Mimik mukanya penuh kebencian.

“Pakcik, pakcik dah mandi belum?” sapa seorang anak kecil sambil menekap tangannya ke hidung. Budak itu tergelak kecil dan terus berlari mendapatkan ayahnya.

Semua paluan herdikan itu hanya ditelan dengan pahit oleh sang pengemis tua itu. Langkahnya menjadi semakin deras meluru ke meja belakang. Dia keluar dengan tergesa-gesa setelah mendapat sedikit wang dan makanan.


FIKIRKAN DENGAN PERASAAN

Melihat situasi tersebut dalam erti sebuah tulisan dan perenggan hitam putih tidak memberi banyak kesan kepada kita. Namun, cubalah tafsirkan dengan mata hati dan perasaan yang waras seorang manusia yang diberikan akal fikiran.

Saya ingin mengajak anda cuba untuk menyelami dan memahami situasi mereka dalam erti jika kita berada di tempat mereka. Apa yang kita akan rasa jika sang peminta sedekah tadi ialah kita? Ataupun,

Jika pengemis itu AYAH kita.

Andai si perempuan tua di tepi jalan itu IBU kita sendiri.

Jika yang kudung kaki tidak dapat berjalan itu abang kita.

Jika yang sedang duduk bersila di sambil mendukung anak itu saudara mara kita.

Soalan saya ialah, sanggupkah lagi kita akan mengherdik mereka ataupun sekadar membuat mimik muka apabila wajah mereka yang sayu datang kepada kita? Saya yakin TIDAK akan menjadi jawapannya.

Harus kita ingat, mereka juga manusia seperti kita yang mempunyai perasaan dan jiwa seorang insan yang dahagakan prihatin dan perhatian daripada kita. Mereka bukan kucing kurap di jalanan untuk kita lemparkan kata-kata kesat dan menghina sekalipun mereka hina di mata kita. Hina di mata kita belum menjadi penentu hinanya mereka di sisi Allah. Ingatlah, mereka mungkin adalah seorang ayah kepada anak-anak yang sedang menanti hasil sedekah di rumah. Mereka mungkin ibu kepada anak kecil yang masih belum mengenal erti susu dan nasi. Mereka mungkin juga anak-anak si ayah yang miskin terlantar di rumah mengharapkan ubatan sentiasa mengharapkan hasil sedekah.

Terlalu banyak kemungkinan yang ada untuk kita fikirkan dan renungkan hanya daripada seorang pengemis dan peminta sedekah. Maka janganlah kita sombong dan berhentilah menilai orang daripada fizikal dan luarannya sahaja. Boleh jadi kita yang lebih ranggi dan berpenampilan ini lebih dibenci oleh Allah kerana sifat sombong, kedekut dan bongkak yang sudah bersarang lama di dalam diri kita.

Justeru, layanlah setiap manusia dengan hak mereka sesama manusia. Sang peminta sedekah juga mempunyai hak ke atas wang yang kita ada. Jika nilai dan angka yang menjadi penyekat kepada kita untuk memberikan sumbangan, maka sedikit tetapi ikhlas sudah memadai. Janganlah kita menjadikan jumlah sebagai penghalang kepada sampainya pahala kepada kita.

Sedikit pun cukup!

 

RISAU DITIPU LAGI

Ramai juga antara kita yang mungkin ada pengalaman ditipu ataupun berasa tertipu dengan sedekah yang telah diberikan.

“Dulu aku rasa macam pernah budak tu datang minta sedekah dan minta sedekah, sekarang bukan main banyak pulak dia shopping ,” kata seorang pegawai kerajaan.

“Eh, ramainya budak-budak peminta sedekah tadi naik van tu petang tadi, ini mesti sindiket minta sedekah mempergunakan kanak-kanak. Menyesal aku bagi sedekah tadi!”, marah seorang pengurus restoran.

Mungkin anda juga pernah berasa tertipu mempunyai perasaan seperti diatas. Terasa bagai nak jumpa orang tadi dan minta kembali wang kita. Begitu bukan?

Tinggal satu lagi persoalan, adakah jika kita ditipu dan memberi sedekah kepada orang yang berbohong, kita tidak akan dapat pahala? Adakah wang kita hanya akan lesap begitu sahaja? Tidakkah kita mendapat pahala atas amalan baik kita itu tadi tambahan pula kita yang ditipu,bukan kita yang menipu.

Sila lihat langsungan daripada artikel ini di “Sedekah Kepada Orang Bohong”

 

Comments

comments

Tuliskan sedikit komen, mungkin?