Sedikit Yang Diberi, Banyak Yang Dirasa

Setengah Jalan

Ketika itu kami sedang berjalan meniti batu-batan yang berselerakan. Gerak kami perlahan memilih tapak untuk meletakkan kaki di tanah. Tersilap langkah tergelincirlah bahananya. Kami sudah sampai di pertengahan jalan. “Tidak jauh lagi sebenarnya air terjun tu”, kata salah seorang daripada kami yang pernah datang sebelum ini. Tiba- tiba saya teringat akan sesuatu. Saya tertinggal beg! Ia masih berada di kaki bukit seingat saya. Panik. “Kita berpecah di sini, kamu semua teruskan dahulu perjalanan. Saya pergi turun dan akan cuba kembali secepat mungkin”, saya bertekad. “Tetapi jangan lupa tinggalkan tanda, aku pun tidak biasa sangat dengan tempat ni, takut tersesat!”, saya menjerit sambil laju menuruni lurah.

*************

Bak kata Hindustan, Zindagi ek safar hai suhana.  Hidup adalah satu perjalanan yang indah.

Memang betul begitu. Bahkan semakin kita berjalan dan meredah kehidupan ini, semakin banyak sesuatu yang kita akan belajar. Bahkan semakin banyak pengalaman yang kita timba. Akhirnya, pengalaman itulah yang akan mengajar kita erti kehidupan yang sebenar.

Tapi apakah ertinya kita mengharungi sebuah kehidupan ini tanpa ada orang yang akan bersama kita?

Kalau tanya saya kawan yang macam mana, saya cakap kawan yang boleh tunjuk kita jalan ketika kita tersesat.

Bahkan bukan sahaja ketika kita tersesat, malah ketika kita lemah juga  dia sentiasa ada untuk membangunkan kita dan memberikan kita harapan untuk kembali. Itulah peri pentingnya peranan seorang teman dalam hidup kita.

Kerana itulah kita kena hidup dalam berteman dan berkawan. Kerana apa? Kerana syaitan itu seperti serigala dan serigala hanya akan menerkam kambing-kambing yang tersesat dalam kawanannya. Ya, hanya yang terpencil, terasing, dan yang berseorangan akan diterkam. Maka mahukah menjadi antara yang terasing dan sentiasa menjadi yang keseorangan?

Bukan kerana itu sahaja, psikologi manusia sendiri tidak dapat menerima hakikat untuk hidup bersendirian tanpa orang sekeliling. Ya, kerana psikologi manusia itu mahu untuk hidup bersosial dan mempunyai teman. Maka, mahu atau tidak, kita memang kena ada kawan atau teman.

Satu sahaja dari saya, carilah kawan
yang boleh menunjukkan jalan andai kita tersesat;
yang boleh membangunkan kita saat kita rebah;
yang sentiasa ada saat kita kecundang;
dan yang boleh bersama kita dalam mengharungi kehidupan.

***************

Kerana rasa ketinggalan, saya terus mendaki dengan laju setiap batu-batan yang melintang. Tidak kira kecil atau besar, semua saya langkah dan redah.

Sambil laju mendaki, ada juga terlintas di fikiran, “Macam mana tanda yang mereka letak tu? Mereka masih ingat pesan aku tak? Dan yang paling penting, ada ke tanda tu?”

Semua perkara-perkara itu datang dan berlegar-legar. Semakin tinggi saya mendaki, semakin saya risau akan tersesat jalan.

Tiba-tiba…

Inilah rupanya 'tanda' itu...

Inilah rupanya ‘tanda’ itu…

Tersergam gah di depan mata. Satu batu besar yang lebih tinggi dari saya sendiri tertulis satu petunjuk.

Alhamdulillah, ada lagi kawan yang sanggup tunjukkan jalan andai tersesat. Anda pula bagaimana?

Coretan yang tertunda,
Kudlu Waterfall, India.
17042014

Comments

comments

1 Comment

  1. June 24, 2014    

    Alhamdulillah. Kawan macam tu la yang kita nak cari dalam hidup ini. Namun kebanyakkan kawan yang ada disekeliling kita bukan jenis macam ni. Selalu ambil kesempatan. Selalu meninggalkan kita bila dalam kesusahan.

Tuliskan sedikit komen, mungkin?