Sedikit Yang Diberi, Banyak Yang Dirasa

Sesejuk Salju, Nikmat Itu!

snow

“Macam mana keadaan di sana, okey tak?”, saya bertanya dengan penuh rasa ingin tahu.

Sudah lama benar rasanya saya tidak berjumpa dengan kawan lama itu. Sekarang dia sudah berada di Republic Czech. Menyambung pelajaran dalam bidang perubatan juga di sana.

Sekarang musim sejuk katanya. Salji turun mencurah-curah. Suhu pula boleh mencecah sehingga -15oC di bawah paras beku.

Sebut tentang salji, saya mula terasa teruja. Sudah lama benar dalam hidup saya berangan untuk merasa sejuknya salji. Putih warnanya,  sejuk rasanya, putih bersih serinya. Seakan-akan menggambarkan sucinya ‘fitrah’ yang turun dari langit. Namun jangkaan saya nyata meleset. Jawapan darinya tidak menunjukkan kegembiraan yang saya idamkan.

“Entahlah, aku pun tak tahu nak cakap macam mana. Salji ni mula-mula je rasa best, lepas tu makin seksa ada lah”, jawabnya spontan.

Saya hanya dia menunggu dia berbicara.

“Semakin lama kau akan rasa semuanya susah. Hendak berjalan terpaksa menutup semua badan, kulit pula terasa sangat kering”, sambungnya menghabiskan ayat.

 

NIKMAT

Bagi orang yang seumur hidup belum pernah menyentuh salji seperti kita, dapat merasai salji ialah nikmat yang tidak terhingga.

Namun, ada dua hakikat tentang nikmat. Pertama, pabila manusia telah mendapat sesuatu nikmat yang Allah berikan, mereka akan terasa seperti nikmat itu belum cukup lagi. Semakin diberi, semakin terasa inginkan lagi. Tidak kiralah apa jua jenis nikmat itu. nikmat pakaian, nikmat harta, nikmat makanan, nikmat sihat, ataupun nikmat masa lapang. Semuanya terasa belum cukup untuk kita. Kita akan terasa ingin lagi dan mahukan lagi.

Yang kedua lagi pelik. Apabila manusia mendapat sesuatu nikmat, dia akan mudah berasa bosan dengan nikmat yang dimiliki setelah berlalunya masa yang panjang. Kita mudah terlupa yang dahulunya ia adalah nikmat. Sama seperti salji di atas, sebelum kita dapat, kita teringan sangat untuk merasanya. Tapi apabila ditanyakan kepada orang yang telah merasanya, dia akan katakan ia derita.

Persoalannya, kenapa perkara ini berlaku?

Kerana kurangnya syukur!

SYUKUR

Hanya ada satu penyelesaian pada masalah ini. Penyelesaian yang akan menenangkan hati kita dan mengajar kita untuk berasa cukup.

Iaitulah syukur.

Kita belajar bersyukur dengan apa yang telah di kurniakan oleh Allah. Daripada itulah kita akan tahu bahawa segala apa yang kita sudah ada sebenarnya sudah pun cukup. Apa yang kita ada sebenarnya telah pun banyak. Maka, dengan cara itulah hati kita juga akan menjadi tenang.

Perlu di ingat, tidak sedikit juga manusia di luar sana yang telah binasa kerana terlalu mengejar kuasa, pangkat dan harta.

 

RASAI KESUSAHAN

“Saya sudah mendapat nikmat, tetapi susah pula untuk saya bersyukur”

Sesetengah orang memang mempunyai masalah seperti itu. Nikmat sudah pun berada di depan mata, tetapi rasa syukur pula yang tidak datang. Bukan anda tidak boleh melakukannya, cuma cara sahaja yang tidak kena.

Untuk saya, jika saya rasakan hati sangat keras untuk mensyukuri segala nikmat yang ada, saya akan cuba untuk melihat orang dibawah saya. Saya akan cuba untuk menyelami perasaan setiap orang yang punyai kekurangan dan kesusahan. Dengan itu, saya akan rasa lebih tenang dan bersyukur dengan apa yang ada.

Alhamdulillah, tempat saya belajar di India ini banyak mengajar tentang erti kesusahan dan nikmatnya kesenangan.

Maka untuk anda juga, saya nasihatkan untuk melihat orang yang di bawah anda, bukan orang yang lebih beruntung dari anda. Nescaya, anda akan rasa lebih bersyukur dengan apa yang anda sudah ada.

 

 Orang yang tidak pernah merasa peritnya panas tidak akan tahu nikmatnya teduh…

 

 

 

Comments

comments

4 Comments

  1. January 4, 2013    

    Benar. Orang yang merasai sesuatu impian atau kejayaan akan melupakan perkara tersebut dan menginginkan sebaliknya. Boleh kata, kita ini tidak habis meminta.

  2. January 4, 2013    

    Seronok kalau dapat bermain dekat salji tu

  3. January 7, 2013    

    “Entahlah, aku pun tak tahu nak cakap macam mana. Salji ni mula-mula je rasa best, lepas tu makin seksa ada lah”, jawabnya spontan.

    Hehe sangat setuju. Selalunya kita nampak dalam filem, salji maka pemandangan sekeliling putih. Betul, itu masa awal-awal turun. Ataupun tempat yang jarang orang lalu lalang.

    Kalau tak universiti, jalan2 besar atau kawasan perumahan, nanti salji2 tu nampak hitam2 sebab orang pijak2 atau kereta lalu lalang. Bila dah cair, jadi air kotor. Hehe.

    Apa2 pun tetap bersyukur kerana dah merasa pengalaman merasa salji.

    • admin admin
      January 8, 2013    

      Anda sudah ada pengalaman merasai salji, seronoknya!
      Jadikan pengalaman sebagai satu kenangan indah yang menajar kita.

Tuliskan sedikit komen, mungkin?