Sedikit Yang Diberi, Banyak Yang Dirasa

Peperiksaan Itu Menyekatku

 

Peperiksaan hanya sementara, tapi tekanannya cukup terasa

 

“Aku ingat nak pergi jalan-jalan lepas exam ni, pergi melancong jauh-jauh”, kata seorang sahabat dengan bersungguh sungguh.

“Memang enjoy la aku lepas ni, sudah banyak rancangan yang nak buat lepas exam ni nanti”, kata seorang lagi dengan muka yang ceria sambil menggaru dagunya.

Saya juga dapat merasakan yang demikian. Semakin tidak sabar, ternanti-nanti dan mahu semuanya berlalu pantas.

 

MINGGU-MINGGU YANG MEMENATKAN

Sepanjang tempoh saya belajar,inilah peperiksaaan yang paling memenatkan saya. Saya penat semuanya, penat badan dan penat otak. Tujuh minggu peperiksaan yang berlangsung dengan celah rehat selama dua minggu membuatkan saya menjadi tepu dengan kertas-kertas hitam putih dan tulisan-tulisan yang tumpat mengisi helaiannya. Fikiran menjadi seakan-akan hanya terisi dengan aksara-aksara hitam putih dan terbang bermain-main memutar minda. Itulah gambarannya untuk menceritakan apa yang berlaku, moga tidak keterlaluan.

Namun semua itu bukanlah perkara yang besar untuk dirisaukan bagi saya. Ada perkara yang lebih memberikan penyesalan kepada saya.

Urusan peperiksaan yang memanjang membuatkan saya menjadi lebih liat dan beralasan. Logik saya menjadi kacir. Andai sahaja ada niat yang baik untuk beramal dan mencari pahala, selalu datang pula logik yang memenangkan:

“Rileks la dulu, exam tengah dekat ni, kemudianlah baca Quran, kalau exam tak lepas macam mana?”

Samalah juga apabila saya cuba membaca buku non-academic sekadar mengisi lompong masa belajar.

“Biologi kau dah habis baca ke? Bukan banyak lagi ke kau tak hafal?”

Perasaan takut dan menyesal datang bersilih ganti. Takut jika tidak dapat lulus untuk peperiksaan dan menyesal jika saya terlalu melebihkan peperiksaan berbanding benda lain yang lebih besar. Datangnya secara spontan dan sekejap, namun cukup untuk saya memenangkannya.

Perasaan itu cukup saya takuti kerana ia pandai mengambil kesempatan suasana untuk mengalahkan saya. Logik saya menang, saya kecundang dengan pahala.

Sekalipun semua itu menjadi kebimbangan, tidak sedikit juga masa yang terbuang selepas satu-satu subjek habis bersandarkan alasan nak lepaskan tension.

 SEKARANG, SEMUANYA SELESAI…

Semua kebimbangan itu sudah tidak ada lagi pada saya sekarang. Saya sudahpun berada dikampung halaman menikmati cuti-cuti yang tersisa. Tidak lagi terasa tergantung untuk membaca buku yang di luar bidang saya. Tidak lagi terasa bersalah bila ingin menyentuh Quran. Dan tidak lagi risau dengan peperiksaan yang datang menghantui.

Hanya kepada-Nya dikembalikan segala syukur.

Kita bukanlah hamba kepada peperiksaan untuk setiap kali risaukannya apabila ingin melakukan kerja. Namun kita masih lagi kekal sebagai hamba Tuhan yang setiap kali harus memikirkan tentang-Nya apabila ingin melakukan kerja.

Dengan nikmat masa lapang yang panjang dan dengan semangat Ramadhan yang bakal menjelma, moga-moga saya ampuh untuk mengisi masa dan membalas sambil menebus masa-masa yang telah banyak dibazirkan. Moga syaitan sama tidak datang diwaktu lapang yang panjang ini sambil berbisik:

Rilek la dulu, masa panjang lagi. Enjoy la dulu.”

Yang itu saya paling takut bila semangat yang banyak dan menyala ini di rosakkan oleh hanya bisikan kerdil diri sendiri.

HARAPAN BARU

Semoga cuti ini dapat saya habiskan buku-buku yang bertimbun tidak diusik sejak berbulan-bulan yang lalu. Membaca buku-buku non-academic dan terkeluar dari bidang sains sekolah memang amat menyenangkan saya. Dapatlah juga otak ini mencari nafas baru daripada hanya berlegar dengan Biologi, Fizik, Kimia dan Matematik. Cukuplah semua subjek itu hanya di kelas, saya takkan bawanya bersama di rumah nanti.

Semoga segala perancangan  ini diberkati Allah, dapat dilaksanakan dan memberi manfaat.

 

Kutahu dengan membaca, aku mendapat ilmu,

Ilmu itu mesti dicari, bukan ia datang bertamu,

Akanku  berusaha agar ia dapat menyinariku,

Dan juga memberi kepada selainku.

 

 

 

 

 

 

 

Comments

comments

Tuliskan sedikit komen, mungkin?