Sedikit Yang Diberi, Banyak Yang Dirasa

Pagi Yang Gelap

 

Haryana, 9oC, 6:00 pagi, sebulan yang lalu.

Kami betul- betul kebingungan dan buntu jalan setelah putus akal mencari masjid.

Kami semakin resah. Waktu semakin berjalan sedangkan tempoh untuk kami melaksanakan solat Subuh sudah semakin singkat. Kami tidak henti-henti memerhatikan bangunan-bangunan di tepi jalan. Cahaya di subuh hari amat malap untuk menampakkan segala benda.

Kami hanya mampu bergerak perlahan-lahan sambil mata liar memerhatikan bangunan si sekeliling.

Akhirnya kelibat bangunan berbumbung kubah kecil muncul juga.

Fuuhh…

“Kita solat di sini saja lah”, respons seorang rakan. Kata-kata yang melegakan, mematahkan pencarian kami di pagi hari.

Keluar sahaja dari van, saya sudah mula terketar-ketar. Sungguh,suhu yang terlampau sejuk untuk kami sebagai orang Khatulistiwa ini terasa sangat menyeksakan.

Kami laju bergegas masuk kerana tak mahu ‘dihinggap’ embun pagi yang sungguh sejuk itu.

 

Suasana pagi jalan di Haryana, India

Suasana pagi, jalan di Haryana, India

 

 

DAIF

Masjid itu agak usang kelihatannya. Bangunannya bersambung dengan beberapa bangunan lain yang di tepinya. Persis seperti rumah kedai kebiasaan.

Hanya yang membezakannya ialah sebuah kubah kecil yang menandakan bahawa ianya masjid. Kecil,tetapi cukup untuk memberitahu bahawa ia masih punya ‘jiwa hidup’ di dalamnya.

Dari pintu masuk itu lagi sudah kedengaran suara mendayu-dayu membaca al-Quran. Bukan seorang dua, tapi ramai.

“Ramai pula orang datang di masjid di pagi ini. Boleh pula mereka tahan suhu sejuk begini,”detik hati saya setelah melangkah masuk.

Jangkaan saya meleset. Mereka bukan orang kampung, mereka ialah anak-anak yang umurnya bawah 20-an.

Kesemua mereka duduk dalam satu bulatan, dan kelihatan seorang yang agak dewasa sedikit di tengahnya. Mungkin itulah gurunya, saya rasa.

 

PERAMAH LAYANANNYA

Melihat kami yang datang secara  berkumpulan, pemuda itu datang meluru kearah kami.

“Muda lagi guru ini, sebaya kami agaknya”,saya mengagak setelah melihat raut wajahnya.

Saya memulakan bicara dengan bercakap dalam bahasa Inggeris. Melihatkan dia susah berbahasa Inggeris, saya tergagap-gagap menyusun perkataan dalam bahasa Hindi.

Assalamualaikum. Humne safar hai”, jelas saya dalam terketar-ketar kesejukan.

Dia terus laju meninggalkan kami. Kami semua kehairanan.

Tidak lama selepas itu, dia datang lagi. Kali ini dengan beberapa helai selimut.

Hati saya mula berasa tenang dan lega, betapa baik layanan yang diberikan kepada orang musafir seperti kami.

Masjid yang sederhana sahaja, tapi punya jiwa yang mampu menghidupkan. Kelihatan mereka berselimut, sejuk!

Masjid yang sederhana sahaja, tapi punya jiwa yang mampu menghidupkan. Kelihatan mereka berselimut, sejuk!

Jauh pula bezanya dengan masjid besar yang gah tersergam itu,(Jama Masjid). Kisah di Jama Masjid sungguh tidak dapat dilupakan.Sekalipun ia besar dan cantik, ia bukan jaminan untuk jiwa di dalamnya juga cantik. Berbeza benar layanannya dengan masjid ini, sekalipun ia kecil.

 

TIDAK TAHAN SEJUK

Sekali lagi kami tidak tahan sejuk. Membasuh anggota wudhuk terasa seperti mandi dengan air batu. Sejuknya hingga ke tulang!

Oleh kerana waktu subuh telahpun masuk, kami bercadang untuk solat terlebih dahulu.

“Humne abhi namaaz sakte nehi hai?”, saya bertanya dalam ‘broken’ Hindi.

“Sekarang kami solat tidak boleh?”,begitulah lebih kurang terjemahannya. Saya agak bimbang juga jika susunan bahasa sebegitu kedengaran kasar dalam bahasanya. Tetapi bahasa hati lebih memahami dari lisan yang di sebut.

“Nehi”, ringkas menjawab persoalan saya.

Dia kemudiannya menjelaskan bahawa sudah menjadi kebiasaan orang sini untuk melewatkan solat subuh. Sehingga setengah jam juga solat subuh dilewatkkan selepas azan.

“Mungkin untuk menunggu jemaah lebih ramai datang”, fikir saya.

Saya tidak tahu apa hukum sebenar melewatkan sedikit solat Subuh untuk meramaikan makmum, tetapi ada benarnya juga perkara yang di amalkan itu.

Sedikit masa yang dilambatkan mungkin boleh meramaikan lagi jemaah yang datang. Kerana acap kali juga saya perhatikan di mana-mana masjid pun, akan ada orang terpaksa membuat jemaah baru kerana jemaah pertama telah habis.

Tapi mungkin akan ada orang akan berkata, “Perkara seperti ini tidak boleh dijadikan amalan. Ia akan menggalakkan orang datang lambat ke masjid. Kan bagus kalau

 

JAMUAN RINGKAS

Selesai solat, kami semua bergegas bersiap kerana bimbang akan terlambat perjalanan.

Namun kami di tahan lagi. Dijamu dengan makanan.

Di pagi yang sejuk itu, kami di jamu dengan sedikit sarapan ringkas. Sungguh baik hati mereka. Masih sempat pergi membeli makanan untuk menjamu kami. Ketika sesi makan yang ringkas itu, kami banyak berbincang dan bersembang.

Walaupun seorang menggunakan ‘bahasa ayam’ dan seorang lagi ‘bahasa itik’, itu tidak menghalang untuk hati di pertautkan.

Ketika itulah saya mula mengetahui bahawa masjid itu memberikan khidmat pengajian Tahfiz al-Quran kepada murid- murid yang datang belajar di situ. Tambah menyedihkan, semua pelajarnya adalah anak-anak yatim pertengahan umur. Sumber kewangan pula, tidak ada sumber lain yang dapat membantu kecuali hanya dari sedekah dari orang ramai sahaja.

Dalam semua itu, ada seperkara yang amat saya kagum tentang mereka. Pendekatan mereka untuk mengelakkan umat berbalah.

Setelah melihat ada sedikit perbezaan kecil dalam solat, saya mula timbul perasaan ingin tahu lalu bertanya, “ Yeh masjid mazhab kiya hai?”.

“Islam”,jawab imam tadi, sungguh ringkas.

Saya masih tidak berpuas hati, saya tanyakan lagi pada orang lain.

Sama!

Jawapannya masih sama. Saya tidak berani bertanya lagi sebaliknya menyimpulkan, “Mungkin ini salah satu cara untuk mengelakkan berlakunya fanatik Mazhab sepertimana yang telah berlaku di Nusantara ini.”

 

BERPISAH

Ketika semunya hampir selesai, kami semua beransur untuk pulang.

Kami sempat sedikit bergambar sebelum berpisah. Daripada raut wajah mereka, dapat saya saksikan mereka amat gembira dan suka dengan kehadiran kami.

Wajah mereka seakan-akan berat untuk membenarkan kami pergi, saya pun merasakan sedemikian.

Terima kasih saudaraku atas layananmu.

Hanya Allah yang dapat membalas.

 

 

 

Kisah yang bertamu dan pergi,

Adalah lumrah perjalanan pengembara,

Tapi jika ada satu yang melekat di hati,

Itulah kisahmu wahai saudara.

 

Comments

comments

1 Comment

  1. March 28, 2013    

    Salam perkenalan. Persinggahan kali pertama di sini dan ini sebuah blog yang punya isi menarik. Tahniah tuan!

Tuliskan sedikit komen, mungkin?