Sedikit Yang Diberi, Banyak Yang Dirasa

Mencabar Bahasa

Bahasa yang banyak akan menyatukan; dengan syarat ia dipelajari.

 

“Is it done?”, saya bertanya sambil mengangkat ibu jari tanda urusan sudah selesai. Namun jurujual itu masih terpinga-pinga.

Saya bertanya sekali lagi dengan nada yang lebih tegas dan cepat, “Is it done, sir?”. Jurujual itu masih terpinga-pinga dan tertanya-tanya. Saya cuba memberikan tanda isyarat pula, mengangkat ibu jari dan menunjukkan kepadanya sebagai tanda urusan sudah beres. Saya menanti dengan diam dan tiba-tiba dia bersuara, “Which language you are using sir? Oh, english? Okay, it is done.”

Saya bertambah hairan dengan masyarakat disini. Bukankah saya sudah bertanya dengan bahasa Inggeris diawal perbualan tadi. Masakan dia tidak tahu dengan bahasa apa saya bercakap. Dia bercakap dalam bahasa Inggeris tapi masih bertanya saya bercakap dalam bahasa apa. Saya hairan dan tertanya-tanya. Namun, urusan saya masih banyak, lalu saya tinggalkan dia dengan tergesa-gesa.

ADA APA YANG BOLEH DIBANGGAKAN?

Sudah menjadi minat saya untuk belajar dan mengetahui bahasa yang dipertuturkan oleh orang lain. Sekarang saya sedang merantau dan berada di bumi yang lain, bumi India yang penuh dengan bahasa berlainan, itupun belum dicampur dengan dialek masing-masing. Di India sahaja lebih 20 bahasa dipertuturkan. Struktur bahasa yang luas dan berbeza. Namun, Hindi tetap menjadi bahasa kebangsaan dan paling banyak dipertuturkan.

Untuk saya, saya jadikan ia sebagai satu cabaran yang mesti saya cuba harungi dan belajar untuk lebih dekat dengan masyarakat disini.

Saya cuba juga untuk mengorek latar belakang masyarakat disini. Rata-rata mereka amat peramah dengan orang luar, tambahan lagi pelajar yang masih menuntut di sini. Seperkara yang membuatkan saya bangga dengan masyarakat disini ialah mereka amat fasih berbahasa Inggeris. Sedangkan pak cik yang berkerja membaiki kasut pun boleh bertutur dengan baik dalam bahasa Inggeris, inikan pula orang awam yang rata-ratanya bekerja di pejabat.

Jika hendak dibandingkan keadaan demografi dan suasana disini, memang ianya setanding kawasan hulu di Malaysia yang mempunyai beberapa bangunan yang padat. Namun, saya berani tanggung yang masyarakat di sini lebih intelektual dan tahu untuk berkomunikasi jauh lebih baik dari penduduk hulu di Malaysia. Satu  benda yang boleh saya banggakan.

BANYAK CAKAP

“Sebenarnya berapa banyak bahasa yang awak tahu di India ini?”, saya memulakan bicara dengan seorang pekerja di kedai runcit. Dia memang peramah dan tahu mengambil hati pelanggan walaupun barangnya tidaklah berkualiti mana pun. Sudah banyak juga barang yang saya terbeli di kedainya kerana manis mulutnya.

“India memang ada banyak bahasa. Saya tahu 3 bahasa tempatan dan 7 lagi bahasa lain di sini”, balasnya sambil tersenyum. Saya sudah mula tergamam. Sungguh banyak bahasa yang dia kuasai. Rasa tercabar dan mahu mencabar pun ada. Bukan sahaja banyak cakap, tapi banyak juga bahasa yang

“Apa bahasa tempatan yang dipertuturkan disini?”, saya bertanya dengan penuh rasa ingin tahu. “Kannada, Tuluk dan Konkani”, balasnya ringkas. Saya sendiri berasa janggal dengan nama bahasa yang baru pertama kali didengari itu.

“Bagaimana pula dengan bahasa Malaysia? Awak boleh bercakap dalam bahasa Malaysia tak?”, saya menjampuk menduga jawapan. “Boleh!”, jawabnya pantas. Lalu dia terus membilang angka satu sampai sepuluh. Agak biasa jika difikirkan kembali, namun untuk orang asing yang baru belajar, masih boleh dibanggakan.

Saya tinggalkan kedai tersebut dan pulang kerumah. Dalam perjalanan pulang saya seperti teringatkan sesuatu.

“Is it done?”

Yang pasti saya sudah mendapat jawapan untuk soalan tersebut.

 

 

 

Comments

comments

2 Comments

  1. adeq adeq
    October 23, 2012    

    urdu?

    • admin admin
      October 23, 2012    

      Urdu dan Hindi adalah satu bahasa yang boleh dikatakan ‘adik -beradik’. Bezanya, tulisan Urdu lebih mendekati tulisan Arab, Hindi pula tulisannya agak berbelit. 🙂

      Tetapi, saya lebih mempelajari Hindi sekarang.

Tuliskan sedikit komen, mungkin?