Sedikit Yang Diberi, Banyak Yang Dirasa

Masihkah Tuanku Ingat?

Pada hari itu semua orang gembira dan teruja.

“Sultan akan datang ke majlis kita!”
“Kita akan berpeluang bertemu mata dengan sultan”.
Riang gembira rakan-rakan pada waktu itu masih lagi terngiang-ngiang.

Saya sendiri tidak kurang juga cerianya. Manakan tidak, dapat bersalaman dan menerima sijil dari sultan negeri ini sendiri. Ia adalah satu penghargaan dan penghormatan yang amat besar bagi saya.

Sudah menjadi kebiasaan untuk Majlis Graduasi bagi para pelajar Tingkatan 3 itu dirasmikan oleh DYMM Tengku Muhammad Faris Petra sendiri, yang sebenarnya pemangku sultan pada ketika itu. Menggantikan ayahandanya yang sedang gering.

Pada ketika itu, sudah banyak cerita yang saya dengar tentang pemangku sultan tersebut. Beliau tidak seperti raja atau sultan kebanyakkan yang lain. Seorang yang sangat rapat dengan masjid. Juga orang mengatakan bahawa beliau seorang yang mesra rakyat.

Hal itu saya kirakan benar belaka. Kerana pernah sekali saya berkesempatan untuk solat Isya di Masjid Negeri Kota Bharu. Tiba-tiba masuk seorang lelaki dari pintu hadapan dengan hanya sehelai jubah berwarna putih rata. Imam terus memulakan solat sejurus setelah lelaki itu memasuki masjid.

“Mungkin dialah orang yang ditunggu”, getus hati saya.

Memang benar dialah orang yang ditunggu. Lelaki tersebut adalah Sultan sendiri!
Saya hanya memerhatikan dari jauh bagaimana ramahnya beliau dengan orang ramai.

Bersalaman.
Tersenyum.
Bercakap dengan menggunakan bahasa kampung seperti orang kebanyakkan.
Dan juga tidak memasang sebarang pengawal untuk mengawasinya.

Benar, sultan ini memang tidak seperti yang lain.

 

RAPTAI

Hendak menerima penghormatan daripada sultan bukanlah mudah. Sehari sebelum majlis lagi segala persiapan dan raptai sudah diadakan.

Kerusi sudah diatur rapi.
Dewan sudahpun dihias dengan secantiknya.
Sistem audio dan pembesar suara semuanya dipastikan berfungsi.
Dan malamnya dewan dikunci kemas.

Kami diajar semasa majlis itu bahawa ada adat tertentu dalam menghadap sultan. Semua pelajar diajar dan ianya mesti dilakukan semasa menghadap sultan.

Kedua-dua belah tangan mesti dirapatkan, diletakkan sedikit di hadapan hidung, dan tunduk sedikit semasa menghadap sultan. Sama seperti yang dilakukan oleh orang melayu zaman dahulu seperti filem-filem lama.

Ia dipanggil tunduk sembah.

Benda teknikal saya kirakan, mungkin juga.

 

HARI MAJLIS

Hari yang ditunggu telahpun tiba. Kami menunggu lama sebelum ketibaan sultan.

Dalam kebosanan tersebut, saya mula mengelamun dan berfikir.

“Macam ada yang tak kena dengan tunduk sembah. Kenapa kita mesti tunduk sembah kepada sultan? Bukankah dia juga manusia. Kita hanya patut tunduk pada Tuhan”. Getus saya dalam pemikiran. Saya tahu, ia soalan yang tidak patut di tanya.

Saya cuba memberanikan diri. “Apa yang akan jadi kalau kita tidak tunduk sembah?”. Soal saya kepada kawan di belakang.

“Entahlah, orang kata kau akan kena tulah”, jawab dia dalam tahu dan tak tahu.

Saya mengangguk. Sekadar bersetuju untuk tidak banyak tanya.

Tulah adalah satu jenis hukuman atau sumpahan yang akan mengena pada rakyat yang menyebabkan raja murka. Itulah yang setakat saya faham, tidak lebih. Mungkin benar dan mungkin juga tidak.

Tiba-tiba suara kuat dari speaker bergema, ” Mengumumkan ketibaan Kebawah DYMM Pemangku Sultan Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra.

Saya terus berdiri dan menyanyikan lagu negeri.

Namun, saya harus menunggu lagi. Pelbagai ucapan daripada orang-orang kehormat, dan juga ucapan daripada Pengetua. Dan yang paling penting, giliran untuk dipanggil nama untuk naik ke atas pentas.

“Agak ke belakang juga angka giliran aku, mungkin lambat lagi kot”, sekadar menyedapkan hati.

************

” Sekarang dijemput calon seterusnya, Baihaqi bin Mohamad!” Bergema suara, satu dewan yang mendengarinya.

Saya mula gelabah. Kenapa cepat pula nama aku dipanggil?

Saya bergegas ke atas pentas. Sudah tidak dapat berfikir panjang. Besar juga langkah kaki saya jangkaukan.

Ketika berhadapan dengan sultan, saya sudah lupa semua benda. Bagaimana nak tunduk sembah, bagaimana nak ucap ‘ampun tuanku’, semuanya telah tiada.

Akhirnya saya hanya tersenyum, dia pun tersenyum. Saya terus mengambil skrol sijil dan turun pantas dari pentas.

“Alamak, terlupa tunduk sembah!”, kata saya dalam hati. Apa pun, giliran saya sudah tamat.

“Tak ada orang perasan kot”, bisikku untuk sedapkan hati.

Semasa menerima sijil daripada DYMM Sultan Kelantan

Semasa menerima sijil daripada DYMM Sultan Kelantan

 

 

SULTAN DI HATI

Apa pun, peristiwa tersebut sudahpun 8 tahun berlalu. Tidak ada lagi setakat ini ‘tulah’ seperti yang diperkatakan kawan saya tersebut. Mungkin tulah sudah tidak ada sekarang, ataupun tulah hanya untuk orang dulu-dulu.

Tetapi bukan itu yang membuatkan peristiwa tersebut masih segar dalam ingatan saya. Bukan kerana tulah, dan bukan juga kerana tunduk sembah. Akan tetapi kerana Sultan itu sendiri.

Sultan itulah yang menjadi idola rakyat jelata.

Sultan yang dihormati dan disayangi orang ramai.

Sultan rapat dirinya dengan solat dan masjid.

Sultan yang menjunjung segala yang kelihatan baik.

Sultan yang mengangkat tinggi nilai agama

Orang kata, beliau menjadi sedemikian kerana didikan ulama. Benar, sememangnya benar. 20 tahun lebih hasil didikan ulama. Akhirnya inilah hasilnya.

Sultan yang tawadhuk dan rendah diri.

Setia ke hujung nyawa. Sayu sungguh apabila melihat gambar ini.

Setia ke hujung nyawa. Sayu sungguh apabila melihat gambar ini.

DAULAT TUANKU!

 

 

Comments

comments

Tuliskan sedikit komen, mungkin?