Sedikit Yang Diberi, Banyak Yang Dirasa

Lupakan Sahaja

 

“Tapi abang, saya sudah mengikuti kursus beliau selama lebih 2 tahun,” rengek seorang isteri yang cuba meluahkan perasaan kepada suaminya.

Si isteri seakan tidak percaya apabila diberitahu oleh suaminya bahawa trainer dan motivator yang dia ikuti selama ini terlibat dengan penipuan sijil akademik. Dia berada dalam keadaan terpinga-pinga, antara mahu percaya dan tidak mahu percaya.

” Saya hanya mahu menjadi usahawan yang berjaya. Sudah jauh saya terlibat, dan bukan sedikit wang yang saya habiskan untuk kursus-kursus beliau. Satu kursus sahaja mencecah RM 2997, buku-buku beliau juga telah banyak saya baca. Takkan abang mahu saya berhenti begitu sahaja?” Soal sang isteri lagi.

Sekiranya cara fikir sebegini yang berlegar-legar dalam kepala kita, sebenarnya fenomena ‘sunk cost fallacy’ sedang berlaku dalam kepala kita.

The Art of Thinking Clearly

The Art of Thinking Clearly

 

‘Sunk cost fallacy’ adalah salah tanggapan terhadap kos hangus.

Fenomena ini diberikan gambaran dalam sebuah buku The Art of Thinking Clearly oleh Rolf Dobelli. Ia adalah satu fenomena yang menjerat pemikiran ramai orang yang telah kehabisan sumber untuk sesuatu perkara, kemudian ia mempengaruhi keputusan kita selepas itu.

Saya berikan contoh yang lebih mudah. Anda membeli tiket ke panggung wayang RM 15, itu pun kerana desakan kawan yang mengajak. Kemudian tahu-tahu, cerita itu membosankan dan anda mahu balik. Lantas kawan anda berkata, “tonton sahajalah sampai habis, kau dah bayar RM15 untuk cerita ini. Buat rugi je duit kau tu nanti”.

Perkara ini sepatutnya tidak berlaku. RM 15 itu sudah dibelanjakan, tidak kira anda tonton cerita itu ataupun pulang ke rumah. Perkara telah berlaku, jadi itu tidak sepatutnya  di ambil kira dalam keputusan yang hendak diambil.

Begitulah juga dengan kes si suami dan isteri pada cerita pertama tadi. Sang isteri sudahpun mendapat segala macam ilmu dan teknik dalam siri program dan kursus yang dihadirinya. Adalah tidak patut untuk dia mengambil kira kembali kos dan wang ringgit untuk keputusan yang akan diambil.

Akan tetapi, fenomena sunk cost fallacy ini paling membahayakan apabila kita sudah melaburkan wang, masa, tenaga, dan kasih sayang pada satu-satu perkara. Sebab itulah ramai orang yang tahu akan perkara ini, tetapi masih tidak menerima hakikat walaupun dia sebenarnya sudah kehilangan punca.

 

Jadi, apa yang harus dilakukan?

Terimalah kenyataan dan janganlah segala kos dan usaha tenaga yang dilaburkan sebelum ini menjadi penghalang untuk si isteri tadi menerima hakikat. Segala ilmu, idea, bahan dan sumber telahpun dia dapat sepanjang mengikuti program motivasi tersebut. Cuma jadikanlah ini sebagai pengajaran untuk sebuah pengalaman yang mematangkan.

Tidak kira sebanyak mana yang telah di belanjakan, sepatutnya penilaian kita adalah pada faedah dan kos pada masa hadapan.

 

Satu coreten petang,
Melaka Bandaraya Bersejarah

Comments

comments

Tuliskan sedikit komen, mungkin?