Sedikit Yang Diberi, Banyak Yang Dirasa

Kisah Mat Si Istimewa

Genap setahun saya tidak pulang ke kampung halaman. Sedih bercampur rindu bermain di fikiran. Sedih kerana di kampung ini kekurangan seorang penghuni semasa Aidilfitri yang lepas dan rindu kerana sudah lama tidak menjengah. Ya, setahun dirasakan teramat singkat. Banyak benda tidak banyak berubah.

Sambil kereta menelusuri jalan, saya kembali mengimbau memori lama yang masih tersimpan.

“Oh, jambatan ini masih belum siap ya ayah?”

“Ooo, bangunan ini masih macam dulu lagi.”

“Jalan ini masih tidak berubah lagi ya ayah?”

Pelbagai soalan yang aku ajukan, ayah hanya mampu tersenyum dengan gelagatku yang seperti rusa baru masuk kampung.

Janggal. Jakun. Terpinga-pinga.

Apa boleh buat, sudah setahun aku tinggalkan negeri ini.

Tetapi itu hanyalah sedikit ‘pelepas rindu’.

**********

Selesai mengambil wudhuk, aku bergegas. Menyambar kunci motor di dinding, menyaut selipar biru, aku lajukan langkah untuk ke masjid.

Dari jauh lagi aku sudah perasan seorang budak sedang memerhatikan aku. Aku buat tidak tahu, sebaiknya menunggu motorsikal di ‘parking’ dahulu.

Baru sahaja aku mengangkat kepala, dia terlebih dahulu menyapaku.

“Eh, abe ado ayik?”.   (Eh, abang dah balik?)

Nadanya tersekat-sekat. Suaranya seakan bersorak gembira. Kulihat matanya. Bersinar-sinar tetap memandang wajahku.

Aaah. Memoriku tentang kanak-kanak istimewa ini berputar kembali.

 *******

Dulu sebelum aku sambung belajar ke luar negara, masjid ini memang menjadi tempat aku berulang-alik dari rumah. Cuti yang panjang sebelum sambung belajar membuatkan aku sudah biasa dengan masjid ini.

Rutin aku berulang-alik membuatkan dia juga sudah mengenaliku. Sekurang-kurangnya dia sudah biasa dengan mukaku. Di setiap kali itulah aku sentiasa melihat dia juga datang ke setiap waktu solat.

Pada mulanya aku juga agak pelik. “Apa kanak-kanak istimewa ini buat di masjid?”, getus hatiku.

Sembahyangnya bukanlah sempurna manapun.

Kadang-kadang Zohornya  lima rakaat.

Kadang-kadang Subuhnya tiga rakaat.

Kadang-kadang Maghribnya ada Qunut.

Aku tergelak seorang diri melihat gelagatnya, kadang-kadang.

Namun semua itu aku simpan belaka. Kerana memang aku sudah tahu dia memang kanak-kanak istimewa.

Tapi kadang-kadang aku juga rasa tercabar kerana Subuhnya dia dulu terlebih dahulu sampai daripadaku. Satu tamparan buatku orang muda yang sihat akal fikirannya kerana ditinggalkan orang istimewa yang ditarik sedikit nikmat akalnya.

Huh, pedas bukan?

Masakan kita ini yang tersedia pelbagai nikmat tidak mahu sedikit bersyukur dengan mengerjakan sedikit ibadat? Sungguh, itulah tanda teguran Allah yang di zahirkan atas perantaraan orang lain. Tidak mahu terasa lagi? Terpulang.

Setelah lama aku perhatikan, barulah aku perasan yang datangnya ke masjid bukanlah untuk solat. Habis untuk apa? Saya kata lebih dari itu.

Kadang-kadang dia datang ke masjid sedikit awal. Susun selipar dan kasut di hadapan pintu pagar.

Kadang-kadang dia pulang sedikit lambat. Tutup pintu dan suis kipas masjid.

Kadang di waktu petang dia membasuh lantai tempat mengambil wudhuk.

Rumahnya yang sememangnya di tepi masjid sahaja membuatkan dia senang untuk datang dan balik ke rumah. Aduhai, aku kembali terharu teringatkan pergerakan harian dia.

“ Abe ayik ilo?” (Abang bila balik), tanya dia pelat.

Aku juga sukar untuk menangkap perkataannya pada mulanya.

“Marin” (Kelmarin), jawabku ringkas. Sambil tersenyum.

Laju dia menyambut tanganku. Tangan yang dijabat itu diramas kemas olehnya. Dia menarik tanganku seakan memaksa aku untuk masuk ke dalam masjid. Sambil dia menarik, dia mengajukan lagi beberapa soalan yang sama kepadaku. Aku hanya tersenyum dan menjawab soalan yang sama berulang kali. Tetapi aku tidak kisah, demi untuk memuaskan hatinya.

Siapa sangka si Mat ini ialah istimewa yang lain dari biasa?

Siapa sangka si Mat ini ialah istimewa yang lain dari biasa?

Artikel ini tidak bersahaja aku tulis. Ada pengajaran yang tersirat mungkin dapat dicungkil daripada segala nikmat yang telah kita dapat dan dari segala kekurangan yang mungkin tidak berada pada kita.

Tetapi tidak pada kali ini. Dalam warkah yang akan datang mungkin.

Nantikan sambungan…

Selamat membaca!

 

 

 

Comments

comments

2 Comments

  1. October 22, 2013    

    best..

  2. April 25, 2014    

    tertunggu tunggu

Tuliskan sedikit komen, mungkin?