Sedikit Yang Diberi, Banyak Yang Dirasa

Kertas Ujian

 

 

Anda sedang berada dalam dewan peperiksaan. Sewaktu itu ialah Peperiksaan Tahun Akhir. Peperiksaan yang akan memberikan kata putus sama ada anda lulus ataupun gagal untuk tahun itu. Suasana sangat hening dan sunyi. Tidak ada satu bunyi pun melainkan bunyi kipas yang sedang berpusing. Guru mula mengedarkan kertas soalan.

“ Sekarang tepat pukul 8:00 pagi, peperiksaan akan bermula. Dan… Kamu boleh mula menjawab sekarang!”, tegas pengawas peperiksaan. Suasana bising sesaat dengan bunyi selakan kertas soalan.

Anda membuka kertas soalan tersebut dan alangkah terkejutnya, kertas itu kosong! Tiada tulisan. Tidak berisi apa-apa.

“Cikgu, boleh tukar kertas soalan tak? Kertas ini kosong”, anda cuba meminta.

Dengan tegasnya dia menjawab, “Saya tidak kisah kertas itu kosong atau bertulis! Yang penting kertas itu ada di hadapan kamu, jawab sahaja apa yang patut!”

Lalu saya ingin bertanya, apakah perasaan anda ketika itu? Terkaku, terkelu, dan terpaku bukan?

*******

“Saya tidak kisah pesakit beri kebenaran atau tidak! Yang penting pesakit itu ada di hadapan kamu, tanya sahaja apa yang patut!”, kata seorang pensyarah pelajar perubatan.

Mengambil lembaran sejarah pesakit (patient’s history) mengenai sakit yang dialami adalah satu perkara biasa bagi kami pelajar perubatan. Memang kami diajar tentang cara-cara untuk mengambil lembaran sejarah.

“Encik datang dengan simptom apa?”
“Sudah demam berapa hari?”
“Ada muntah-muntah atau cirit-birit?”
“Ada ahli keluarga lain yang ada sakit yang sama?”

Dan berjela lagi soalan yang bakal menyusul. Semua jawapan itu amat berharga untuk kami mengetahui punca sebenar sakit, bukan saja-saja untuk ditanya. Pernah lihat bukan seorang pelajar berkot putih bertanya macam-macam soalan di dalam wad? Itulah kami, pelajar perubatan. Nama pun pelajar, memang kami baru nak belajar.

Tetapi ada orang yang tidak selesa dengan hujanan pertanyaan seperti itu. Sebab itu menjadi etika dalam history taking, kami akan meminta keizinan pesakit terlebih dahulu. Jika pesakit bersetuju, kami akan teruskan dan jika pesakit menolak, kami akan beredar dan ucapkan terima kasih. Itulah cara kami diajar.

Maka jarang-jarang sekali, akan terjadi situasi di mana pesakit di dalam wad memang sedikit. Dan daripada jumlah yang sedikit itu, ramai pula yang tidak memberikan keizinan.

“Maaf doktor, saya tak selesa ditanya sekarang”
“Maaf doktor, saya tak nak diganggu”
“Maaf doktor, saya tak nak ditanya oleh doktor lelaki.”

Kami hormati keputusan anda, dan memang anda berhak untuk menjawab begitu. Kami pula akan beredar untuk mencari pesakit lain.

Tetapi jarang juga terjadi, jumlah kami di dalam wad tersebut terlalu ramai, dan jumlah pesakit pula terlalu sedikit. Dalam yang sedikit itu, sedikit pula yang mahu memberikan kerjasama. Maka terpinga-pingalah kami mahu buat bagaimana. Nak tanya soalan, pesakit pula menolak. Tak nak tanya soalan, apa pula mahu dijawab kepada pensyarah nanti.

Ibarat kata, kertas peperiksaan kami sudah kosong, tak ada soalan. Nak jawab ujian, soalan pula yang tidak ada. Tak nak jawab soalan, takkan mahu hantar kertas yang kosong di akhir nanti.

Maka di sini, saya lahirkan rasa syukur dan terima kasih yang tinggi kepada pesakit-pesakit yang telah memberikan kerjasama kepada saya semasa di wad. Andalah yag sebenarnya banyak membantu saya. Yang banyak membantu saya sebagai pelajar perubatan.

Nama pun pelajar, memang kami kena banyak belajar. Dan saya akan belajar dari anda. Andalah yang sebenarnya guru saya, yang banyak ajar saya.

Akhir kata, terima kasih cikgu !

Baihaqi Mohamad
Pasir Mas
160216

Comments

comments

Tuliskan sedikit komen, mungkin?