Sedikit Yang Diberi, Banyak Yang Dirasa

Jauhi Perangai Budak

 

Anak yang baru bersekolah rendah itu mendapat rekod peperiksaannya hari ini. Malangnya, keputusan itu cukup tidak memuaskan. Dia mula kecewa dan perangainya sedikit berubah.

Berjalan secara senyap-senyap masuk ke dalam rumah melalui pintu dapur, sedangkan ibu bapa masih di ruang tamu.

Apabila si ayah menanyakan, “Apa yang berlaku di sekolah?”

Jawapan si anak akan menjadi begitu ringkas, “Tidak ada apa-apa.”

Apa yang sebenarnya yang sedang berlaku ialah si anak tidak mahu mengecewakan kedua ibu bapanya, tetapi sekarang dia telah mengecewakan keduanya. Maka dia akan mula menjauhkan diri dan mengasingkan perasaan hati.

Mentaliti seperti ini bersambung lagi walaupun di alam pekerjaan. Apa yang akan kita lakukan di tempat kerja?

 

Apabila kita datang kerja lewat di pejabat, kita akan cuba untuk mengelakkan segala eye-contact dengan rakan sekerja yang lain. Kita akan masuk secara menyelinap ke dalam ruangan kerja dan mengelak daripada bertembung dengan mana-mana rakan sekerja.

“Harap-haraplah mereka seperti tidak pernah nampak aku”, kata hati yang sudah hampa dan sedih.

 

HAKIKAT INSAN

Apabila seseorang itu dikatakan insan, maka tidak dapat untuk dia sunyi daripada melakukan kesilapan dan kesalahan. Selalu sahaja ada perkara yang tidak kena dan bersalahan akan dilakukan.

Fitrahnya yang asal akan sentiasa mendorong untuk melakukan kebaikan dan ketaatan. Namun segalanya bakal berubah apabila dia mula melakukan kesilapan.

Dia melakukan sesuatu yang memalukan.

Dia melakukan kesalahan.

Dia melakukan dosa.

Sekarang dia sudah berasa kecewa dengan diri sendiri. Dirasakan sepatutnya diri ini tidak melakukan kesalahan yang sedemikian rupa.

Maka, apa yang dia akan lakukan? Perkara biasa seperti kebanyakan insan lain ada akan datang kepadanya.

Dia rasa mula tawar untuk beribadat kepada Allah.

Dia mula berasa malu untuk mengaku kesilapan kepada Allah.

Dia mula ingin mengasingkan diri daripada rahmat Allah.

Nah sekarang, di sinilah silap kita!

Apabila kita berasa bersalah dengan Tuhan, kita tidak terus meminta pengampunan daripadaNya, malah semakin menjauh.

 

PERANGKAP SYAITAN

Maka syaitan tidak akan pernah letih dan jemu untuk menghasut kita.

“Adakah kamu ingin menjadi orang yang bermuka-muka? Baru sahaja membuat dosa, sudah mahu tunjuk baik?”, bisikan halus mula menyapa.

“Kamu tidak mungkin diampunkan. Kamu sudah melakukan kesalahan disisi Allah.”, provokasi yang tidak pernah henti-henti.

Itulah mainan hati dan perasaan kita yang mungkin menyentuh kita, saat kita berasa lemah dek kerana kesalahan dan dosa yang kita lakukan.

 

HAKIKAT SEBENAR

Namun hakikat sebenarnya jauh lebih baik daripada yang kita sangkakan.

Allah itu Maha Pengampun segala dosa dan kepada Dialah kita akan kembali. Sepatutnya kita akan menjadi lebih dekat kepadaNya setelah kita melakukan kesalahan atau sesuatu dosa.

Siapakah lagi yang dapat mengampunkan dosa selain dari Allah?

Dan Allah itu Maha Pengampun segala dosa. Pohonlah keampunan dosa daripada Allah dengan sebenar-benarnya, semoga kesalahan kita akan diampunkan.

 

IBRAH ANAK KECIL

Pernahkah anda melihat seorang anak kecil dimarahi ibunya di sebuah kompleks membeli belah?

Anaknya mahukan mainan ini dan itu, tetapi ibunya tidak membenarkannya. Menangislah dia teresak-esak, menarik perhatian semua orang yang lalu lalang.

Sekarang perhatikan fitrah anak kecil. Betapa ramai orang yang berjalan di sekelilingnya, namun tidak pernah pula si kecil itu melepaskan dakapan ibunya dan pergi mencari perlindungan dari orang di sekitarnya.

Sekalipun orang yang baik di sekitarnya itu ramai, dan ibunya yang jahat di matanya itu dekat, tidak pula dia berpindah dakapan.

 

Kalau kita boleh menjadi seperti anak kecil itu, itu sudah cukup memadai.

Comments

comments

7 Comments

  1. SuZa SuZa
    December 8, 2012    

    Salam Baihaqi, ana rasa penulisan enta semakin menyengat. Teruskan!
    Doakan ana menjadi seperti anak kecil itu.

    • admin admin
      December 8, 2012    

      Suza!
      Terima kasih kerana ingat lagi pada blog saya.
      Review yang dulu, ingat lagi tak?

  2. December 9, 2012    

    wah menarik gaya entry ni ditulis…
    manusia mmg xterlepas dr melakukan kesilapan,,
    yg terbaik jgn ulangi dan minta maaf..

    • admin admin
      December 11, 2012    

      Terima kasih atas komen ciktom. Selamat bertandang ke
      blog ini.

  3. December 11, 2012    

    bagus!!

    • admin admin
      December 11, 2012    

      Terima kasih kerana sudi melawat blog ini. 😉

  4. December 12, 2012    

    Terbaik artikelnya. Ringkas tetapi padat.

Tuliskan sedikit komen, mungkin?