Sedikit Yang Diberi, Banyak Yang Dirasa

Habituation of Dosa

Siput. Simbol kepada habituation. Namun, apa pula kaitannya dengan kita?

“Ayah, esok hujung minggu. Amir belum pernah lagi tengok cerita kat panggung wayang. Boleh tak kita pergi sekali?”, seorang anak yang baru berumur 10 tahun memberi cadangan.

“Amir nak tengok cerita Transformers dan Spider Man, tadi Amir nampak iklan kat TV”, rayu anaknya yang bongsu itu, memujuk hati bapa.

“Amir, kanak-kanak tak boleh masuk panggung wayang lagi, hanya orang dewasa yang boleh masuk pawagam”, bantah ibunya dengan nada menasihati.

“Tapi Amir nak tengok sekali ni je, Amir dah bosan tengok cerita kat TV yang kecil tu”, anaknya membantah, cuba meluahkan perasaan.

Ayah dan ibunnya saling memandang, hairan dengan perangai anak bongsunya yang sudah pandai meminta benda yang tidak padan dengan umurnya.

 

HABITUATION KITA

 

Apabila kita bercakap soal habituation, sememangnya ia berasal daripada istilah sains yang merujuk kepada kelalian keatas sesuatu tindakan yang dilakukan secara berterusan. Selalunya, haiwan seperti siput babi akan mengalami habituation apabila sesungutnya sentiasa disentuh.

Dalam tidak sedar, kita juga mengalami habituation sejenis seperti siput babi juga, namun dalam erti kata yang lain. Bukan dalam erti kata fizikal, namun dalam kerangka kita sebagai hamba Allah yang berjalan dan merentas bumi ciptaan Ilahi ini.

Jika dilihat dalam banyak perkara dan kejadian kerosakan yang berlaku sama ada ke atas diri manusia itu sendiri ataupun terhadap alam ciptaan Allah ini, semuanya bermula dengan perkara kecil dahulu.

Dimulakan dengan dosa yang kecil dahulu.

Kemudian diulang-ulang.

Dan dibuat berulang kali sehingga terhakis rasa berdosa dan bersalah terhadap perkara yang dilakukan. Adakah kita sedar tentang perkara ini?

Anak kecil sekalipun, jika sudah terbiasa dengan cerita-cerita aksi ganas ataupun lucah, maka ia akan menjadi perkara biasa untuknya. Dia sudah lali dan kalis terhadap perkara tersebut. Ringkasnya dia sudah habituated dengan dosa. Alangkah sedihnya!

 

BUDAYA BERBIASA-BIASA

 

Kita mungkin sudah terbiasa dengan budaya ‘berbiasa-biasa’ dalam sesuatu hal. Sehinggakan, dalam bab dosa dan pahala, haram dan halal pun kita masih terbawa-bawa dengan perangai yang sama. Tidak kira dalam institusi mana pun, perkara ini semakin menjadi amalan sebahagian kita.

Apabila anak perempuan sering dibawa keluar oleh teman lelakinya, si bapa mungkin kerisauan, tetepi dek kerana sudah berbiasa-biasa, si ibu mungkin berkata:

“Biarkanlah abahnya si Milah tu dengan kawannya tu. Kita bukannya tak kenal si Mazli tu, sudah lama mereka berkawan. Lagipun dia sudah besar, pandai-pandailah mereka jaga diri”, leter seorang ibu kepada suaminya yang bimbang dengan keselamatan anak gadisnya.

Apabila pasangan sekelas ditegur kerana sering kelihatan berdua-duaan, mungkin sahaja kerana sudah lama berbiasa-biasa, mereka mungkin berkata:

“Kami sudah lama berkawan dan kami sudah saling mengenali isi hati masing-masing. Siapa awak untuk berlagak lebih tahu dari kami sendiri?”

Mungkin itu semua jawapan yang mungkin diberi oleh pelaku masing-masing. Semuanya sudah tidak merasa sebagai sesuatu yang besar.

Segalanya hanya kerana satu perkara.

SUDAH TERBIASA!

Sudah habituated.

Sudah hilang sensitiviti.

 

MASIH ADA HARAPAN

 

Seringkali apabila kita membicarakan tentang dosa dan pahala, kadang-kadang kita akan terlebih menghukum dan memutuskan segala jalan keluar yang ada terhadap orang-orang yang inginkan kembali kepada kebenaran.

“Habislah kamu! Kamu sudah melakukan sesuatu yang besar disisi Allah”

“Memang orang seperti kamu ini sudah tidak ada tempat lagi untuk hidup dibumi Tuhan!”

Sehingga itu terjadilah pelbagai situasi yang membuatkan diri pesalah berasa sungguh teruk dan seperti sudah putus segala harapan dan pengampunan daripada Allah.

Hanya satu pesan saya,

Percayalah keampunan Allah itu sentiasa ada bagi orang yang ingin kembali dan berlari menuju fitrah. Cuma hanya ada persoalan yang ada,

ADAKAH ANDA MAHU?

Jika anda mahu, segalanya anda akan ubah. Orang sekeliling atau apa sahaja tidak akan menjadi halangan langsung kepada anda untuk berubah. Segala alasan akan hancur. Benteng tembok pemisah akan luluh. Dan segala jalan seperti terbuka luas untuk anda.

Tetapi, itu hanya akan terjadi jika anda satu perkara, iaitu kemahuan! Jika anda mahu, semuanya akan berubah.

 

HINDARKAN WALAU KECIL

 

Sesungut siput babi, jika selalu disentuh, ia akan hilang sensitiviti dan tidak memberi respons. Ia sudah terbiasa dengan sentuhan.

Dosa kecil itu, jika diulang dan diulang, maka kita tidak akan terasa lagi bahawa ia adalah satu kesalahan. Kita disebut sudah terbiasa dengan dosa.

Soalan saya,

Mahukah kita menjadi seperti siput babi?

 

 

 

 

Comments

comments

Tuliskan sedikit komen, mungkin?