Sedikit Yang Diberi, Banyak Yang Dirasa

Dan Mengembaralah!

 

Seorang anak dari keluarga yang miskin bertanya dengan penuh rasa ingin tahu kepada ayahnya, “Bolehkah saya mengembara, ayah?”

“Orang dari serata dunia telah datang ke tempat kita ini anakku,” kata bapanya.

“Mereka datang mencari perkara baru, tetapi apabila mereka pulang, mereka adalah sama seperti mula-mula datang dahulu.”

“Mereka mungkin mempunyai rambut perang, kulit cerah kekuningan, tetapi mereka adalah sama juga seperti orang yang tinggal disini. Orang-orang itu, jika mereka lihat tanah kita, mereka akan ingin untuk tinggal disini selamanya. Mengapa kamu pula ingin ke tempat mereka?”

“Tetapi saya sangat teringin untuk menjejakkan kaki ke tanah  mereka,” bantah si anak itu.

“Orang-orang yang datang kesini, mereka mempunyai banyak duit untuk dibelanjakan wahai anakku, kerana itulah mereka boleh mengembara,” balas ayahnya.

“Diantara kita, hanya pengembala kambing yang akan mengembara ke negeri orang,” sambung sambil terharu dengan kehendak anaknya.

“Kalau begitu, biarlah saya menjadi pengembala kambing!”

 

MENGEMBARA

Kadang-kadang, bertukar tempat dan menuju ke tempat asing yang tidak pernah kita bayangkan menjadi satu titik tolak yang amat bermakna dalam hidup seseorang. Disitu insan akan belajar tentang erti kehidupan yang baru, cara baru, jalan hidup yang baru,  bahasa baru, semuanya akan memberikan kesan dalam hidupnya.

Mengembara menjadikan kita matang dengan persekitaran, mudah berinteraksi dengan orang sekeliling dan yang paling penting ialah, mendekatkan diri kita dengan Allah. Jika penghambaan diri kepada Allah tidak menjadi topik utama dalam pengembaraan seseorang, dia akan mendapati bahawa perjalanannya tidak banyak bezanya dengan makhluk yang lain. Sudah berada ditempat lain, bumi lain, tetapi masih tidak dapat mencari pengajaran daripada perjalanan yang sudah tempuh.

Amat rugi. Amat membazir. Dan tidak memberi makna. Semoga kita dijauhi dari perjalanan yang sebegitu.

 

APA YANG DICARI?

Apakah benda yang ingin diketemukan yang sebenarnya dalam mengembara ini?

Saya sendiri sering tertanya-tanya dan ingin tahu tentang hakikat ini. Namun, ianya tidak lain, kita hanya ingin mencari redha Tuhan dalam setiap apa yang kita lakukan.

Ada orang yang Allah bukakan pintu hatinya setelah dia mengembara. Setelah dia tinggalkan tempat asalnya yang serba tidak kena, berjumpa dengan orang yang dekat tingkah lakunya dengan Islam, maka disitu barulah dia menemui hidayah.

Tidak kurang juga seperti sahabat Nabi yang begitu banyak diuji sebelum menerima Islam. Pengembaraannya jauh, ujian yang dihadapinya sungguh merintang, namun dengan izin Allah, dapat juga dia menemui iman. Itulah Salman al-Farisi namanya. Datangnya jauh dari Parsi, tetapi rahmat Allah tidak pernah jauh daripada orang yang berusaha kepadaNya.

(Kisah Salman al-Farisi ).

 

MATANGKAN FIKIRAN ANDA

Adakalanya, kita akan berasa tepu dan tidak menentu setelah lama berada dalam kepompong yang sama. Semua benda rasa seperti serba tidak kena dengan apa yang berlaku.

Letih di pejabat.

Penat bergelumangan dengan buku-buku.

Sakit kepala dengan sikap orang ramai.

Itu semua adalah perkara pencetus kepada sifat kita yang inginkan perubahan dan sedikit kelainan dalam menelusuri kehidupan.

Apa pun, yang lebih utama daripada perkara tersebut ialah, pengembaraan akan mematangkan fikiran kita, dan meluaskan sisi pandang kita dalam menilai manusia dan alam sekeliling.

Pergi ke tempat baru, berjumpa dengan orang baru, mengamalkan amalan mengikut mazhab setempat, perkara itu semua akan menyedarkan kita akan hakikat sebenar amalan kita. Kita akan sedar bahawa tidak kita yang sentiasa betul dalam melakukan amalan agama.

“Aku dah pergi ke Mekah, tok imam kat situ tak baca Qunut Subuh. Aku rasa mereka sesat lah,” kata seorang pelajar yang kali pertama menunaikan umrah.

Itu perkataan orang yang baru pertama kali berjumpa benda baru. Apabila kita mengembara, kita akan melihat bahawa perbezaan tidak seharusnya menjadi titik pemisah antara kita dengan sesama muslim yang lain, walaupun  kita berbeza mazhab.

 

MEMBERIKAN KEPUASAN AKAL

Mengembara membuka akal kita untuk pandai menilai orang sesuai dengan persekitarannya. Kita akan lebih berhati-hati apabila berbicara, kerana kita akan selalu menggambarkan keadaan asal sesuatu kaum sebelum kita menghukum mereka.

Itu mungkin salah satu kelebihan yang kita akan ada, yang mana tiada pada orang lain. Namun, ada benda yang lebih penting daripada semua itu. Yang mana, jawapannya, hanya anda sahaja yang tahu.

Kepada yang masih belum pernah mengembara, keluarlah melihat alam ciptaan Tuhanmu. Lihatlah betapa kerdilnya kita di bumi Allah, amat buruk untuk kita menjadi sombong di bumi ini. Gunung sahaja sudah tidak mampu untuk menandinginya.

Keluarlah mengembara dan melihat alam, walaupun anda terpaksa menjadi pengembala kambing!

 

 

Dan air itu, jika ia betakung dan tidak mengalir, maka rosaklah ia;

 Dan jika singa tidak keluar dari sarangnya, maka ia tidak akan terbilang;

 Dan panah itu, jika ia tidak menelusur dari busurnya, maka ia tidak akan mengenai sasaran.

 

6 Comments

  1. November 19, 2012    

    Bagus entri ini. Semoga boleh belajar daripada saudara lagi. Teruskan saudara menulis artikel-artikel yang memberi kesedaran seperti ini.

    • admin's Gravatar admin
      November 20, 2012    

      Sama-sama.

      Semoga saya juga dapat belajar sesuatu dari saudara.

  2. November 21, 2012    

    ;)

  3. December 2, 2012    

    mengembara la.. selamat mengembara !

  4. Anonymous's Gravatar Anonymous
    February 3, 2013    

    bagus2..teruskan menulis..

  5. hamba ALLAH's Gravatar hamba ALLAH
    February 3, 2013    

    GOOD job!!!!

Write something....

Masukkan email anda dan terima entri segar yang terbaru dari blog ini.