Sedikit Yang Diberi, Banyak Yang Dirasa

Dah Sunat Ke Belum?

 

Maafkan, aku tidak semesra ini denganmu anakku!

 

 

Ada satu pengalaman yang hendak dikongsi, perasaan berbaur kesian dan tidak sangka begitu tersalah kita dalam bab yang sudah dimudahkan dan diluaskan syara’.

*************************

Selesai mengambil wudhu’ saya terus bergegas ke dalam masjid ingin mendirikan solat jemaah kerana imam telah lama memulakannya. Beberapa orang budak sedang bermain di belakang saf lelaki, sambil mencuit kawannya dan tergelak kecil. Jarak mereka tidak hanya berbeza satu saf dari saf yang lelaki yang terakhir.

Datang seorang lelaki yang agak gempal dalam nada agak tegas, “Ini dah bersunat belum ni? Kalau belum pergi duduk belakang. Tangannya yang lebar itu memegang kemas kedua-dua bahu budak kecil yang kurang semeter tinggi itu. Agak kesian melihatkan anak-anak kecil yang baru hendak berjinak dengan  masjid dilayan begitu.

Diangkatnya budak itu sehingga separuh berjinjing dan dibawa ke belakang dan disandarkan ke sliding door.

“Ha, kamu ni sorang lagi, dah bersunat belum?” budak itu menggeleng kepala sambil menunjukkan muka yang takut. “Kalau tak sunat lagi, pergi la duduk belakang sikit!”, sergahnya dengan suara yang keras.

Melihatkan peristiwa diatas, mungkin semua orang pernah selalu mendengarnya bahkan mungkin menjadi rutin bagi kanak-kanak kurang separas pinggang orang dewasa, terutama di bulan Ramadhan untuk dimarah sebegitu. Apa sangat yang ada pada kanak-kanak sehingga dimarahnya seperti isteri dirampas orang?

Mungkin kita sudah banyak menyempitkan ruang kebebasan dalam pelbagai sudut, namun dirasakan amat wajar untuk saya memberikan sedikit pendapat dalam hal ini.

Sungguh tidak adil layanan kita jika dibandingkan dengan apa yang telah dilakukan oleh Rasulullah suatu ketika dahulu. Malah diberikan rukhsah atau keringanan bagi sesiapa yang mempunyai bayi atau kanak-kanak.

Tidak timbul pula di zaman baginda ‘bersentuh kanak-kanak ketika solat batal solat satu saf’. Kenapa pula ini yang sering kita dengar di masa kini?

Hayati satu hadis di bawah:

“Rasulullah s.a.w pernah solat sambil mendukung Umamah binti Zainab binti Rasulillah, anak kepada (suaminya) Abi al-‘As bin Rabi’ah bin ‘Abd Shams. Apabila baginda mahu sujud baginda meletakkannya. Apabila bangun baginda mendukungnya kembali” (Riwayat al-Bukhari).

Kanak-kanak berasa sungguh tidak mesra dengan pendekatan seperti itu. Masuk sahaja masjid sudah terpampang satu papan tanda,

“Kanak-kanak sila solat di saf belakang”.

Adakah kami yang dosanya masih belum dikira ini dirasakan lebih teruk daripada makmun-makmun di depan? Sudah tentu anda juga tidak mahu mengatakannya ‘ya’ bukan?

“KAMU budak lagi, bersunat pun belum, kat bawah kulit kamu ada najis”, fatwa yang sering kedengaran bila kanak-kanak ingin dikebelakangkan.

Jika sahaja budak itu boleh menjawab, ingin sahaja aku suruh dia jawab “Yang kat bawah kulit perut pakcik tu bukan najis ke? Silalah ke saf belakang pak cik ye”.

Nampak macam bukan kurang ajar bukan? Namun itulah perasaan seorang anak kecil apabila dilayan seperti kucing kelaparan. Islam hanya mengajar kita menghukum yang zahir sahaja. Yang batin diserahkan hanya kepada Allah. Tidak disuruh untuk kita menyelidik dan mencari kekotoran yang tersembunyi. Adakah anda salah seorang dari mereka?

DIDIK ANAK DENGAN PERANGAI SENDIRI.

“Bawa budak-budak ke masjid ni bisinglah, mereka bukannya nak solat pun, ganggu orang bersolat ada lah,” rungut sorang bapa apabila kali pertama membawa anak kecilnya ke masjid. “Kenapa tak duduk diam-diam?! Kan ayah dah kata tadi?, tengking bapanya lagi.

Wahai ayah yang penyayang, itulah kali pertama kau membawa anak kau ke masjid, takkan dah nak suruh sempurna macam kamu? Jikalau itu yang selalu dicurahkan ke telinga anak yang masih belajar dan membesar, mana tidak mungkin suatu hari nanti dia pula akan menengking kamu? Tidak takutkah anda melihat anak yang dijaga menengking kita pula apabila kepalanya mencecah bahu kita? Bimbang bukan?

Maka didiklah anak anda dengan akhlak dan agama, bukan emosi dan perasaan. Gunakan kata yang lembut dan kasih sayang, semuanya akan terpantul kepada diri anda juga.

Anak ini ibarat cermin yang jernih, apa yang anda zahirkan, itulah yang akan lihat hasilnya. Jangan selalu diajar dengan tengking dan marah, nanti kita pula akan dimarah mereka apabila mereka besar.

“Budak-budak ni kalau degil sangat, kena pukul jugak, tak boleh bagi muka sangat; nanti naik kepala. Lagikan Nabi suruh kita pukul anak kalau tak sembahyang.”

Ikutkan emosi bukan? Ingat, anda juga akan tua dan kurang keupayaan sedangkan anak yang kita didik akan membesar dan makin berupaya.

Apa pula perasaan anda apabila anda yang tua dan tiidak berupaya ditengking oleh anak: “Ayah kalau tak susahkan saya boleh tak! Dah la makan nak kena orang suap, pampers nak kena beli setiap bulan, sekarang mintak kerusi roda pulak!!”, tengking si anak dengan dengan suara yang meninggi.

Mungkin ada yang akan mengatakan, “Ini cuma andaian, masa depan belum tentu lagi”. Saya akan membalas, “Ini tidak mustahil jika anda sudah menyuap perangai marah anda sejak mereka kecil”. Ketika itu, rasailah hasil didikan anda.

 

KITA YANG SALAH MEMBERI PERSEPSI

 

Mari kita tengok apa Nabi kata seterusnya,

“Jangan seseorang membangunkan orang lain dari tempatnya, kemudian dia duduk di situ” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Amat halus dan mendalam psikologi yang dimainkan oleh Rasulullah s.a.w.

Bandingkan dengan kita. Kanak-kanak yang pergi ke rancangan-rancangan TV yang jauh lebih buruk pun diberi ruang untuk duduk di depan. Kenapa di masjid mereka dilayan begitu? Adakah apa yang hendak kita beritahu mereka  bahawa masjid kita lebih teruk dari studio-studio tempat berjoget?

Apa yang kita akan katakan kepada dua-tiga orang anak kecil di saf pertama apabila kita ingin solat di sebelahnya? “Adik, pergi solat kat belakang. Saf depan ni untuk orang yang dah besar je.”

Inikah tanda kemesraan kita?

 

Betul ke begitu? Sejak bila pula kat saf pertama ada tanda ‘Untuk Orang Dewasa Sahaja’ ? Sepanjang-panjang saya pernah solat di masjid, tidak pernah saya melihat label tersebut.  Jika bukan demikian yang terjadi, kenapa dihalau pula mereka ke belakang?

Kerana rasa ego. Rasa besar diri dan rasa mereka hina? Jika itu rasa yang ada, anda yang sepatutnya tidak layak berada di saf pertama! Mereka itu secara zahirnya lagi kurang dosanya berbanding kita. Mereka baru sekejap berada di atas dunia ini. Sedangkan kita yang lebih lama, sudah tentu lebih berdosa…

 

APA SETERUSNYA?

 

Teruskan dengan perbuatan baik anda untuk melazimi masjid dan rumah Allah. Cuma yang perlu diubah hanya sedikit. Hanya tentang sikap dan persepsi kita terhadap kanak-kanak dan yang akan membentuk generasi kuat di masa hadapan.

“Adik, mari solat tepi pak cik. Duduk diam-diam ye, jangan bising.” Itulah cara menyapa mereka.

“Ayah kat mana dik? Pergi la solat tepi ayah.”

Jika bersolat di tepi orang dewasa, dengan siapa lagi mereka mahu membuat bising? Mahu mencuit lutut si ayah kemudian berpura-pura tak tahu?

Saya rasa itu tidak akan terjadi sama sekali.

Masakan mereka berani?

 

 

Comments

comments

Tuliskan sedikit komen, mungkin?