Sedikit Yang Diberi, Banyak Yang Dirasa

Cerita Yang Disalah Faham : Prebet Adam

” Ini siapa pula yang beli buku pasal Prebet Adam ni?”, tegur ayah pantas apabila melihat buku ini diatas meja di ruang tamu.

“Saya ayah. Buku ni cerita pasal Prebet Adam yang mengamuk dan bunuh orang di Chow Kit dulu. Dia kata Prebet Adam mengamuk bukan sebab adik dia mati ayah.” Saya cuba menjelaskan.

“Ooo, yeke? Mana betul cerita tu. Prebet Adam mengamuk sebab adik dia mati kerana Sultan Johor pada waktu tu bunuh. Alaa, pengarang buku boleh tulis apa yang dia mahu”, hurai ayah lagi. Dengan agak bersungguh juga. Mungkin itulah cerita yang didengar dia pada masa itu. Sudah lama kejadian itu sebenarnya. Tahun 1987, untuk lebih tepat.

Konfesi Prebet Adam, buku yang merungkai kembali sejarah yang disalah anggap.

Konfesi Prebet Adam, buku yang merungkai kembali sejarah yang disalah anggap.

Sebenarnya saya baru sahaja selesai membaca buku Konfesi Prebet Adam, tulisan Shahril A. Kadir. Sepertimana kebanyakkan orang, saya kenal nama Prebet Adam pun kerana ceritanya yang mengamuk di Chow Kit pada suatu masa dahulu. Kata orang, dia mengamuk kerana adiknya yang berkerja sebagai caddy golf mati dibunuh Sultan Johor. Itu kata orang, namun sejauh mana kebenarannya? Adakah ini sekadar rumour, ataupun kisah benar? Ikuti  penjelasan Prebet Adam dalam buku ini.

Oh ya, Prebet Adam sampai sekarang pun masih hidup lagi. Dan untuk pengetahuan anda semua, pengarang buku ini pun bukan sebarangan orangnya. Beliau ialah seorang wartawan penyiasatan jenayah yang sudah tidak asing lagi. Pernah memegang jawatan sebagai Penolong Ketua Meja Jenayah Utusan Malaysia. Dan buku ini juga, adalah hasil kajian dan penyiasatan beliau.

ADIKNYA CADDY GOLF?

Ramai yang mengetahui cerita ini atau pernah mendengar cerita ini akan mengatakan bahawa Prebet Adam mengamuk kerana adiknya mati dibunuh.

Soalan pertama yang kita boleh tanya ialah, “Adiknya yang mana satu?”. Ya, Adam adalah anak sulung dan ada 7 lagi orang adik. Soalannya ialah, yang mana satu? Hawa, Anisah, Azimah, Arina, Arman, Ardan, atau Azad? Jawapannya ialah TIDAK ADA. Kerana semua daripada nama tersebut tidak ada yang mati dibunuh!

Kelakar bukan? Dalam keadaan tuan punya badan masih lagi hidup, cerita tidak betul dan khabar angin yang mengarut masih lagi tersebar. Bahkan di dalam buku ini juga ada dimuatkan Pengakuan Berkanun beliau sendiri yang mana menyatakan bahawa beliau tidak mempunyai mana-mana adik beradik yang dipukul hingga mati oleh KDYMM Almarhum Sultan Iskandar. Gambar keratan pengakuan itu juga ada dimuatkan.

 

APA YANG TERJADI SEBENARNYA?

Di dalam buku ini ada diceritakan secara terperinci dan kronologi yang berlaku ketika insiden amukan Prebet Adam di Chow Kit pada ketika dulu. Dipendekkan cerita, Prebet Adam mengamuk bukanlah kerana ingin membalas dendam terhadap kematian adiknya, tetapi kerana masalah mental.

Terdapat beberapa peristiwa dan kisah yang terjadi sehingga membawa Prebet Adam kepada tekanan yang teramat sangat, sehinggalah berlaku peristiwa yang tersebut. Apakah peristiwa tersebut, tidaklah dapat saya nukilkan disini kerana agak panjang kronologinya dan saya juga tidak mahu memberi spoiler kepada siapa yang berminat untuk mengetahuinya. Perkara ini disahkan sendiri oleh Doktor Pakar Psikatri yang merawat beliau pada ketika itu, iaitu Tan Sri M. Mahadevan.

Pointnya ialah, amukan itu bukan kerana balas dendam.

 

APA YANG KITA DAPAT?

Setelah membaca dan mengamati buku ini, dapatlah saya simpulkan bahawa tidak semua cerita yang popular itu betul dan benar.

Saya mengandaikan apa yang anda dengar dan tahu pasal Prebet Adam itu ialah rumors. Ya, rumors yang berlaku pada masa itu.

Iyalah, pada masa itu bukan ada internet yang sedia untuk disemak di hujung jari. Jadi orang menyebarkan berita dan cerita yang sensasi untuk dijadikan buah mulut.

Bezanya dengan sekarang, rumors yang ada akan senang diperbetulkan balik dengan adanya internet yang pelbagai sumber. Kita akan senang untuk membuat perbandingan dan menyemak mana yang betul dan mana yang salah.

Kalau dulu macam mana? Apa yang didengar, itulah yang ditelan.
Kesannya? Sampai ke hari ini pun orang masih percaya rumor tersebut!

 

p/s: Untuk yang ingin tahu, bolehlah baca sendiri dan nilaikan fakta-fakta yang dibawa oleh pengarang. Peace…

 

 

 

Comments

comments

Tuliskan sedikit komen, mungkin?