Sedikit Yang Diberi, Banyak Yang Dirasa

Buku Saya Dirampas

Pensyarah itu tiba-tiba datang kearah saya dan berkata dengan tegas, “Berikan kepada saya buku tadi.”

“Awak menulis sesuatu dalam buku tadi kan?”, tanya beliau dengan dengan terang dan ringkas.

Saya hanya mengiyakan dan terus menyerahkan buku tersebut kepadanya. Saya berasa sungguh hairan, bagaimana dia dapat tahu saya sedang membuat sesuatu yang lain semasa dia sedang memberi syarahan.

Rupanya sudah lama dia perhatikan saya di dalam kelas. Pergerakan beliau yang kesana dan kemari membuatkan saya tidak perasan yang beliau sebenarnya sudah melihat saya dari jauh.

Seusai kelas selesai, saya ingin meminta kembali buku tersebut. Buku saya dirampas kerana saya menulis sesuatu pada buku Physiologi sedangkan beliau sedang mengajar Anatomy.

 

“Maafkan saya, tapi boleh tak saya dapatkan semula buku saya tadi?”, tanya saya dengan sedikit cemas.

“Awak boleh mendapatkannya daripada Dr. Satheesha Nayak, Ketua Jabatan Anatomi di pejabat. Dia ada di pejabat sekarang sampai pukul 4:30”, beliau hanya menjawab bersahaja.

Tiba di pejabat pula, saya terpaksa membuat surat akuan bersalah dan mendapat tandatangan daripada pensyarah tersebut, kemudian tandatangannya. Barulah saya akan mendapatkan kembali buku saya.

 

KERENAH BIROKRASI

 

“Hebat juga kerenah birokrasi di sini”, saya termenung sendirian setelah memikirkan begitu leceh dan rumit untuk hanya mendapatkan sebuah buku yang juga bukan komik, tetapi masih buku akademik.

Mungkin itu pengalaman saya berhadapan dengan kerenah prosedur yang sedikit, tidak serumit saudara kita yang lain.

Saya teringat akan kisah seorang saudara kita yang menceritakan nasibnya berdepan dengan kerenah birokrasi di Malaysia ini. Bukan untuk meminta buku, untuk lebih daripada itu.

 

PEJABAT AGAMA YANG LECEH

“Saya datang kesini untuk mendaftarkan nama sebagai seorang Islam.”, katanya dengan lembut.

“Maaf encik, pejabat sudah hendak tutup, pegawai yang bertugas pun tiada. Jadi, boleh encik datang lagi esok?”, jawab seorang kerani yang bertugas.

Adakah mereka tidak berfikir bahawa orang yang datang tadi mungkin dari tempat yang jauh? Mungkin terpaksa meninggalkan anak isteri? Mungkin sedang memilih antara dua sama ada kehendak ibu bapa atau Islam sebagai kata putus?

Mungkin.

Mungkin.

Dan banyak lagi kemungkinan yang ada.

Mengapa begitu disusahkan urusan yang pada nilaian agama amat penting itu. Orang yang ingin memeluk amat besar keutamaan urusannya yang perlu didahulukan dalam situasi seperti ini.

Macamlah agama ini ada waktu buka dan tutup yang boleh ditetapkan!

Bila waktu pula betul, ada saja hal lain yang tidak beres.

 

MESTI NAMA ISLAM

“Saya ingin mengekalkan nama asal saya sebelum Islam untuk dijadikan nama saya selepas Islam”.

“Awak tidak boleh berbuat demikian, awak mesti menukar nama bapa awak kepada Abdullah. Itu yang dilakukan oleh semua orang disini.”

“Kenapa pula bapa saya berubah nama setelah saya  masuk Islam? Saya tengok dia tetap bapa saya yang sama sebelum saya masuk Islam. Dan dia masih tetap orang yang sama. Kenapa nama dia berubah pula?”

“Bukan, awak tidak faham. Awak mesti tukar nama bapa kepada nama Arab, supaya orang mudah kenal awak sebagai orang Islam”.

“Oh, kalau macam tu, kenapa ramai lagi orang yang ber‘bin’kan Awang, Mat, Senin dan Seman di luar sana? Bukankah itu juga bukan nama Arab. Bukankah Nabi juga tidak menukarkan nama sahabatnya yang masuk Islam kepada nama bapa baginda iaitu Abdullah? Jika tidak, tidak ada lagi Ali bin Abi Talib, Uthman bin Affan, Umar bin al-Khattab. Yang ada ialah Ali bin Abdullah, Uthman bin Abdullah dan Umar bin Abdullah.”, jawabnya dengan berhujah dan tegas. Memenangkan hujah di pihaknya.

“Tidak boleh! Kalau awak berdegil juga, mungkin urusan awak tidak akan dilayan dan diproses”

“Okey, baiklah kalau macam itu. Boleh tak saya nak tanya satu soalan? Boleh tak kalau saya nak Islam yang macam Nabi Muhammad buat, bukan Islam yang awak buat?!”, sindirinnya cukup tajam.

Salah faham ini cukup ramai orang memilikinya. Ramai yang masih tersalah sangka bahawa setiap orang mesti memiliki nama Islam untuk selepas memeluk Islam. Amat kasihan untuk negara kita yang sudah lebih 50 tahun merdeka, tetapi rakyatnya masih dalam kebingungan dalam perkara yang asas sebegini

 

BUKAN BUKU GADAINYA

Jika kita sedang membincangkan soal agama, maka ia bukan isu yang kecil. Jika masih sebegini kerenah pejabat agama kita, bukan benda kecil menjadi gadaian, tapi Islam yang akan dipersalahkan. Kerenah yang membebankan, dicampur lagi dengan kefahaman yang salah. Islam juga menjadi mangsa.

Orang yang tidak faham akan terus menyalahkan Islam kerana meletakkan syarat yang berat hanya untuk memeluk Islam. Padahal, hal yang sedemikian tidak pernah diajar oleh agama, mahupun dipraktikkan oleh Nabi.

Maka menjadi tanggungjawab kita untuk menerangkan kepada semua orang tentang hakikat ini, tidak kira dengan siapa kita bergaul.

 

Tidak sama orang yang menyampaikan dengan orang menyembunyikan.

Tidak tergerak perkataan jika ia tidak dilisankan.

Tidak ada ganjaran melainkan balasan.

Yang ada hanya amalan

Moga bermanfaat.

 

 

 

Comments

comments

4 Comments

  1. adeq adeq
    October 23, 2012    

    first time masuk web ni. agak menarik penulisan. keep doing. birokrasi dalam sistem, memang menyusahkan.

    • admin admin
      October 23, 2012    

      Terima kasih kerana sudi melawat blog saya. Terima kasih juga atas komen membina.

  2. November 19, 2012    

    Birokrasi dalam agama memang tidak patut. Sepatutnya dalam urusan agama dimudahkan. Pemberian zakat, masuk Islam, bertanya soalan kepada Qadhi atau Mufti. Semua itu perlu dimudahkan. Sudahlah umat Islam semakin jauh dengan Islam dengan hiburan dll. Ditambah dengan birokrasi pula, memang semakin jauhlah mereka.

    Semoga kita ambil iktibar.

    • admin admin
      November 20, 2012    

      Ya, perkara inilah yang sentiasa menjadi kebimbangan kita. Menjadi peranan kita semua sebagai generasi muda untuk menjelaskan kecelaruan ini. Orang-orang miskin yang sentiasa ‘bersamamu’ dahulu menjumpai mereka, saya sentiasa tertanya-tanya kemana perginya jabatan agama.

      Terima kasih saudara kerana sudi berkunjung.

Tuliskan sedikit komen, mungkin?