Sedikit Yang Diberi, Banyak Yang Dirasa

Azan Yang Dirindui

Petang senja itu, matahari mula terbenam menandakan malam ingin datang menjenguk. Saya memerhati alam sekeliling yang mulai malap, kelam menggelap menanti Maghrib. Dijenguk tanya rasa hati, seperti ada sesuatu yang kurang pada alam di petang itu. Saya mula merasakan ada sesuatu yang penting seperti ketinggalan pada senja itu.

Ya!

Petang itu berlalu sepi lagi tanpa saya mendengar bunyi azan!

Alangkah sunyinya penghabisan hari itu tanpa di dengari azan yang beralun.

AZAN YANG DIRINDUI

Apabila berada di luar negara, di negara pula yang kawasan setempatnya bukan penghuni muslim yang majoriti, memang terasa seperti kita yang terasing. Rasa kesunyian adalah satu perkara, tidak dapat menghayati salah satu keindahan disebalik rahsia azan juga adalah satu kerugian yang lain.

Buat masa yang lama, hati berasa gundah dan terasa seperti ada ruang kosong yang mesti diisi. Tanpanya, rasa seperti ada satu ruang untuk diisi. Mungkin ruang itu untuk azan yang dirindui. Tanpanya hanya akan ada sepi.

 

RAHSIA AZAN

Kebiasaan berada di tempat yang selalu mendengar azan membuatkan saya menjadi peka apabila azan sudah tidak lagi kedengaran. Saya dapat membezakan keadaan suasana dan tingkah laku manusia di sekeliling ketika mana azan berkumandang dan ketika mana hari malam datang tanpa diseru azan.

Saya melihat tanpa kehadirannya, pergerakan manusia menemui Tuhannya menjadi perlahan dan tiada maya. Seakan tiada suara pemberi semangat yang mengatakan “Pergilah ke jalan Tuhanmu!”.

Ya, manusia menjadi seakan tidak cakna dengan perubahan alam yang berlaku.

Hari seakan mengatakan “Siang sudah berlalu, mulakan malammu dengan menghadap Tuhanmu dahulu.”

Entah, susah untuk saya gambarkan. Namun suasana dan perasaan itu tetap mencucuk dalam diri. Tidak terkata dek lidah.

 

DENGANNYA AZAN

Saya cuba mengimbas kembali suasana yang dilalui dahulu.

Saya dapat melihat manusia segera bergegas-gegas ingin menunaikan kewajipan kepada Tuhannya apabila saja mendengar azan.

Burung-burung mula terbang ke sarangnya, kicapan mereka lantang dan jelas seperti mengajak juga manusia kembali ke ‘sarangnya’.

Yang berada di padang juga seperti terasa ‘tenaganya’. Mereka mula berhenti bermain, taman mula surut daripada manusia, semua kembali ke rumah. Masing-masing seperti sendiri tahu fitrah diri mereka.

Entah, semuanya seakan hilang punca dan upaya tanpa sedikit peringatan dariNya.

Mungkin itulah kuasa azan, yang baru sedikit saya menemui rahsianya, di sebalik rahsia-rahsia yang terbentang.

Apa yang penting, azan itu mesti saya selalu rindui!

 

 

Ku keluar dari bingit yang bertamu;

Moga ketenangan datang bertemu;

Apa yang ku cari hanya redhaMu;

Kerana kutahu, aku hambaMu

Comments

comments

3 Comments

  1. November 26, 2012    

    Bagus sajaknya di akhir itu. Selamat menuntut ilmu saudara. Semoga berjaya dalam kembaramu.

  2. November 27, 2012    

    😉

  3. December 3, 2012    

    Sokong komen Arrazi,memang menariks ajak di akhir entri ni

Tuliskan sedikit komen, mungkin?