Sedikit Yang Diberi, Banyak Yang Dirasa

Antara Deli dan Kapal Van Der Wijck

 

Sebenarnya saya tidak sangka, seorang yang bergelar ulama di nusantara ini boleh menulis buku-buku seperti ini dengan baik dan sarat dengan makna. Siapa yang tidak kenal dengan Hamka bukan? Seorang ulama agung yang sempat meninggalkan karya-karya agung seperti Tafsir al-Azhar, dapat juga mengarang buku yang berkisahkan cinta dan kehidupan: Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (TKVDW) & Merantau Ke Deli (MKD)

Setelah saya teliti dan menghabiskan dua karya berikut, ada banyak mesej yang ingin disampaikan kepada kita, dan setiap orang yang membacanya juga pasti tahu. Tetapi ada sesuatu yang sama antara kedua-dua buku ini. Saya menjumpainya pun hanya setelah lama meneliti dua karya ini.

Secara halus, HAMKA mengkritik budaya dan adat yang menyusahkan sebenarnya!

 

img_20161003_102602

Buku tulisan HAMKA yang menjadi fenomenal kerana gaya bahasa dan jalan ceritanya yang unik.

Cinta Hayati dan Zainuddin menjadi terhalang kerana di kelilingi adat; iaitu mesti mengahwini orang yang sekampung ataupun yang mempunyai keturunan yang baik, tersohor dan ternama.

Meskipun adat nan usali tidak boleh menerima menantu di luar kampung sendiri, aturan ini dikecualikan terhadap kepada menantu orang yang berasal-usul,orang berbangsa, atau orang alim besar yang ternama. Bagi golongan yang dua ini, biasa juga dipakai adat.

-Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck

Di atas nama keramat adat, maka perasaan dan cinta yang sudah menjadi darah daging dalam kedua-dua insan tersebut menjadi terhalang. Sedangkan perkara ini tidak masuk akal, kerana mana boleh soal hati dan perasaan diberikan had hanya kerana “Ini sudah adat kita!” Tidak masuk akal bukan?

Lihat apa yang dikatakan oleh ayah saudara Hayati apabila ada di antara mereka yang ingin menentang adat yang dibawakan itu:

Tak usah kau berbicara. Rupanya engkau tidak mengerti adat istiadat yang diperturun penaik sejak dari nenek yang berdua: Datuk Perpatih Nan Sebatang dan Datuk Ketemenggungan yang dibubutkan layu, yang dikisarkan mati. Meskipun ayahnya orang Batipuh, ibunya bukan orang Minangkabau, mamaknya(pakciknya) tidak tentu entah dimana,sukunya tidak ada. Tidak ada perpatihnya, tidak ada ketemenggungannya.

-Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck

Sungguh kuat barangkali adat yang dipegang oleh orang sekitar di zaman tersebut. Sehinggakan HAMKA mampu membawa pegangan tersebut dengan sangat terperinci.

MERANTAU KE DELI

Karya lain yang tidak juga kurang hebatnya.

Karya lain yang tidak juga kurang hebatnya.

Demikian tema adat istiadat dan keturunan ini dibawakan lagi oleh HAMKA dalam tulisannya.

Cerita ini berkisar tentang seorang pemuda dari Minangkabau yang merantau dan mencari rezeki di satu daerah bernama Deli. Di situ dia bertemu dengan orang yang dicintainya. Sekali lagi apabila mereka mahu bersatu, adat yang menjadi penghalangnya.

Pertama adalah perhubungan famili yang rapat itu, sebab anak  Minangkabau tidak dapat mengeluarkan dirinya daipada lingkungan kerabat. “Suku tidak dapat dialih, malu tidak dapat dibagi”. Demikianlah tersebut dalam pepatah adat.

– Merantau ke Deli

Hanya kerana wanita yang dicintainya itu tidak sekampung, tidak satu keturunan, maka itu menjadi penghalang yang besar malah menjadi satu titik tolak kepada porak-perandanya kehidupan mereka berdua selepas itu.

Ditambah lagi dengan masalah nasab. Iaitu apabila mereka berkahwin, maka nasab keturunan anak ialah melalui jalur ibunya. Mejadi hal yang sangat mustahak bagi si bapa untuk mencari isteri dari kalangan kaumnya sendiri; demi untuk mengekalkan keturunan.

Anak-anak yang lahir daripada pergaulan itu, tidaklah masuk ke dalam suku ayahnya, tetapi masuk suku ibu. Meskipun bagaimana lama pergaulan dan ke mana pun mereka pergi merantau, namun isteri itu tidaklah jatuh ke dalam kuasa suami sepenuhnya.

-Merantau ke Deli

Maka demikianlah apa yang saya dapati, sedikit dari persamaan dan persoalan besar yang terkandung dalam kedua-dua novel tersebut. Perkara ini bukanlah perkara yang remeh, kerana bagi yang pernah membaca kedua-dua novel tersebut, perumitan masalah dan peleraian hubungan berlaku setelah perkara adat ini ditimbulkan.

Tetapi, ini mungkin apa yang berlaku pada zaman HAMKA dan di tempat HAMKA.

KITA PULA BAGAIMANA?

Bagi anda pula, apa yang sebenarnya yang anda rasa menjadi penghalang kepada penyatuan dua jiwa? Di zaman ini.

Saya tidak tahu, anda boleh senaraikan selengkapnya. Tetapi saya boleh berikan tiga.

  1. “Mahu kahwin dengan anak saya? Engkau kerja apa, gaji berapa dan pakai kereta apa?”
  2. ” Dulu kakak dia ni lepasan Degree, mas kahwin makcik letak RM 20,000. Tapi dia ni lepasan Master, makcik letak RM ……..”
  3.  Yang ini, anda letaklah berdasarkan pengalaman sendiri 😉

 

 

 

Comments

comments

Tuliskan sedikit komen, mungkin?