Sedikit Yang Diberi, Banyak Yang Dirasa

Aku, Gurun dan Oasis

 

 

Pagi itu bermula rutin seperti biasa. “History taking”, atau mengambil lembaran sejarah bagi pesakit adalah menjadi suatu kemestian kepada pelajar perubatan yang sudah masuk ke fasa klinikal.

Dari jauh lagi, selang beberapa katil untuk sampai ke katilnya dia sudah tersenyum lebar. Seorang lelaki umur dalam pertengahan 50-an. Mukanya jernih dan bersinar, segak dengan mengenakan songkok tinggi di kepalanya.

“Selamat pagi doktor!”, sambut dia terlebih dahulu.

Saya sudah mula segan dan tersipu. “Belajar pun belum habis lagi, dah ada orang panggil doktor ke?”, desus saya dalam hati.

Saya merapati beliau dan cuba untuk membiasakan diri dengan beliau.

“Sebenarnya pakcik, saya pelajar perubatan di sini. Saya bukan doktor sebenarnya”, saya  membalas senyuman, bersalaman dan cuba menerangkan.
“Oh tidak mengapa, tidak ada salahnya pakcik memanggil kamu ‘doktor’.

“Saya datang jumpa pakcik ni, sebab nak tanya beberapa soalan berkaitan penyakit pakcik ni, boleh ke?” soalan yang sudah diagak jawapannya diajukan.

Beliau sungguh peramah, suka senyum, tidak nampak langsung kerisauan di riak wajahnya. Bahkan nampak seperti kehadiran saya menambah suka di hatinya.

“Boleh saya tahu pakcik kerja apa dan kenapa datang ke hospital?” saya memulakan soalan selidik. “Pakcik kerja sebagai pemandu kereta peribadi kepada seorang Dato’. Pakcik ni dah tiga hari bengkak di pipi ni doktor, nak makan pun susah. Daripada dulu macam makin besar je doktor. Makin hari makin sakit, doktor.” terang beliau dengan panjang lebar.

Daripada detik itu, perbualan kami terus berlalu. Semua soalab berkaitan dengan sakitnya itu ditanya. Daripada hari bermulanya sakit, hinggalah ke hari sampainya beliau ke hospital.

 

OASIS
Sejujurnya bagi saya, terasa amat berat untuk menerima apabila orang memanggil saya dengan gelaran ‘doktor’. Kerana apa? Kerana kita tahu bahawa kita tidak layak. Tidak layak untuk diberi penghormatan.

Saya tidak lain hanyalah seorang pelajar perubatan yang sedang dan masih belajar. Terasa seperti gelaran itu terlalu melangit untuk orang yang masih bertatih macam saya.

Tetapi secara tidak langsung, itu menjadi pendorong semangat buat saya juga sebenarnya. Terasa diri ini dihargai, ada nilai di sisi orang yang memanggil, dan ada hormat di kalangan orang yang memahami.

Apabila kita terasa lemah, murung, tidak ada motivasi; kadang-kadang perasaan yang semacam inilah yang membangkitkan kita kembali. Membuatkan kita terasa seperti ada nilai dalam masyarakat dan ia seperti : “Itulah aku! Aku yang mereka perlukan untuk membantu!”

Betul. Kadang-kadang…

Kadang-kadang rasa seperti itu ada.

Dan ialah yang membuatkan kita bangun.

Namun, ia tidak selalunya begitu.

Air yang kelihatannya seperti mengalir di padang pasir itu, apabila didekati; “Ah, gersang rupanya! Masih seperti pasir biasa. Pasir yang panas membahang”.

Dunia menjadi terbalik di sini…

Resized-00

Di gurun yang kering, menanti penuhnya cahaya.

 

GURUN
“ I don’t know what you have been doing in your whole life. You are just fooling around!” sergahan kuat kedengaran.

“ If you ever be to graduate, please, please I beg you. Please don’t treat patient. You just don’t fit to do that!”. Itulah dia sergahan dan tengkingan yang maksudnya lebih kurang sama.

Sebenarnya itu hanya pembukaan, hanya muqadimah.

Itupun setelah beberapa kali kosa kata di tapis, dan semua perkataan kesat dibuang. Masih banyak lagi yang menyusul, termasuk beberapa nama haiwan.

Perkara pokoknya, saya juga pernah di maki hamun, di herdik, dipandang sinis, dan dianggap tidak berguna.

Perasaan bahagia seperti sebuah taman dan air mengalir semasa di oasis dahulu sudah tiada.

Kadang-kadang terasa seperti apa yang telah saya lalui selama ini hanyalah sia-sia. Terasa saya sudah tersilap langkah kerana mengambil bidang ini. BIdang yang sepatutnya orang yang kental dan mempunyai semangat yang tinggi, tidak seperti saya yang rapuh dan mudah mengalah.

“ Membazir sahaja negara hantar awak belajar jauh-jauh, ini sahaja hasilnya?!” leter seorang lagi, dengan nada agak tinggi juga. Apakah rasanya di salah erti. Sakit dan pedih bukan?

Berada di tengah-tengah antara pujian dan makian begini, membuat apa yang saya rasa sekarang ialah :

 

AKU
Seperti berada di antara dia dua kemuncak. Satu puncak menyanjung kita setingginya. Satu lagi puncak penuh dengan menjatuhkan kita dengan durinya. Satu dunia akan memuji kita seadanya, dan di sebalik itu, akan ada satu lagi dunia yang mengeji kita seenaknya.

Lalu saya akan bertanya, “Maka aku harus bagaimana?”

Aku bingung, tidak tahu berada di dunia yang mana satu.

Jika dapat digambarkan bidang ini seperti padang pasir; maka aku adalah yang mana satu. Sama ada menjadi keldai yang akan di bebankan dengan barang di sepanjang hidupnya, ataupun kuda yang akan disanjung apabila menanang peperangan?

Maka tinggallah aku seperti mana yang ada sekarang. Masih bertahan dengan segala yang akan mendatang, dan akan pasrah dengan yang sudah lampau.

Jika ditanya apa yang mahu diperbuat sekarang? Saya akan jawab, “Mencari yang hikmah dan terus melangkah, daripada apa yang terjadi”.

Itu sudah mencukupi….

 

Catatan malam,
November 2015

Comments

comments

Tuliskan sedikit komen, mungkin?